PETER MAK… gembira Ketua Wanita PBS Labuan di lantik Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Labuan.
LABUAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Labuan, menzahirkan rasa kegembiraan atas pelantikan Ketua Wanita parti itu, Datin Herin Lumpisau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Labuan yang berkuatkuasa pada 30 Novbember lalu.
Naib Presiden PBS, Datuk Peter Mak berkata, pelantikan Datin Herin membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah kerajaan inklusif yang mendengar suara rakyat.
“PBS Labuan gembira dengan pelantikan Datin Herin sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Labuan, sebuah agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.
“Dalam hal ini, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa atas pelantikan ini dan kesediannya mendengar suara kami mengenai wakil yang lebih inklusif dalam pihak berkuasa tempatan di Labuan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, kelmarin.
HERIN… dilantik Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Labuan untuk tempoh dua tahun
Peter Mak juga turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden PBS yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili kerana memahami dan membawa suara parti ke perhatian Menteri Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, PBS Labuan optimis bahawa Herin akan mampu memberi perkhidmatan terbaik dalam memberikan kesejahteraan kepada penduduk tempatan.