25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Februari 3, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

PBS GARISKAN HALA TUJU BAHARU, PERKUKUH PERJUANGAN HAK SABAH DAN STRUKTUR PARTI

Joachim ketika mempengerusikan Mesyuarat AMT pertama untuk tahun 2026.

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) menggariskan hala tuju baharu parti dengan memberi penekanan kepada pengukuhan perjuangan mempertahankan hak negeri Sabah, di samping memperkemas struktur organisasi serta memperluas sokongan akar umbi merentasi pelbagai lapisan masyarakat.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, hala tuju tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS yang pertama bagi tahun 2026, Ibu Pejabat PBS, di sini, hari ini.

Menurut beliau, PBS akan terus konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah selaras dengan aspirasi rakyat, khususnya dalam aspek peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan, akses pendidikan, kecekapan perkhidmatan awam serta pembangunan infrastruktur asas di seluruh negeri.

“PBS melihat keperluan mendesak untuk memastikan rakyat Sabah menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, akses pendidikan yang saksama, perkhidmatan awam yang cekap serta kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik yang berkualiti,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh organisasi parti, beliau berkata PBS akan menambah keahlian serta mengenal pasti ahli yang aktif dan tidak aktif di semua Bahagian melalui penambahbaikan sistem digital parti, termasuk penggunaan PBSOnline dan MyPBS.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan jentera parti kekal tersusun, berfungsi dengan berkesan serta bersedia menghadapi sebarang cabaran politik pada masa hadapan.

Selain itu, struktur Belia dan Beliawanis PBS akan ditambah baik melalui penyusunan semula organisasi dan penganjuran aktiviti yang lebih tersusun, inklusif serta berimpak tinggi bagi menarik penyertaan golongan muda.

PBS juga akan membangunkan inisiatif PBS Siswa sebagai platform melahirkan kepimpinan pelapis, termasuk melalui penganjuran program seperti kem kepimpinan dan latihan pembangunan sahsiah.

Dalam pada itu, Joachim berkata, PBS akan terus memperkukuhkan sokongan masyarakat Cina menerusi pengaktifan Chinese Task Force, sejajar dengan identiti PBS sebagai sebuah parti berbilang kaum.

“Sebagai parti untuk semua kaum, PBS komited untuk memastikan semua kaum di Sabah diwakili dan dilibatkan secara aktif dalam perjuangan parti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan golongan profesional di peringkat akar umbi akan dipertingkatkan bagi membolehkan sumbangan idea, kepakaran dan pandangan strategik dimanfaatkan secara langsung oleh parti.

“Hala tuju ini mencerminkan komitmen PBS untuk kekal relevan, progresif dan dekat dengan rakyat, demi masa depan Sabah yang lebih mampan dan sejahtera,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN