Dr Joachim, Johari dan lain-lain bertekad untuk kerjasama yang padu menghadapi PRN akan datang
KUNDASANG: Kerjasama parti komponen (Gabungan Rakyat Sabah) GRS iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Kundasang diperkukuhkan melalui persetujuan persefahaman bagi memenangkan calon GRS di N.36 Kundasang pada PRN 17.
Kerjasama tersebut dipersetujui dalam satu pertemuan empat mata di antara dua pemimpin utama parti ini iaitu, Ketua Bahagian PBS Kundasang Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Ketua Bahagian PGRS Kundasang, Johari @ Joe Hj Suhaimin.
Dengan berlangsungnya pertemuan itu, makai ia telah menamatkan teka teki yang mengatakan kedua pemimpin itu akan berentap sesama sendiri pada pilihanraya akan datang dan membuktikan andaian itu adalah meleset dan tidak benar.
Dalam acara tersebut, Dr Joachim memberikan taklimat ringkas mengenai persediaan pilihanraya dari pihak PBS dan juga menghuraikan tentang strategi pilihanraya yang akan dijalankan.
Beliau mengalu-alukan kerjasama dripada PGRS Kundasang dan bersetuju untuk bersama-sama dalam satu pasukan (PBS dan PGRS) yang akan diagih-agihkan kepada kumpulan kecil untuk pergerakan kempen.
“Kita amat berbesar hati dan menyambut baik kerjasama di antara dua parti terbesar di DUN Kundasang ini yang bernaung di bawah GRS untuk terus menjadi pilihan pengundi pada PRN yang akan menjelang satu bulan sahaja lagi iaitu pada 29 November 2025,” katanya.
Sementara itu, Johari sempat mengulas tentang data pengundi (putih, hitam, kelabu) dan memberitahu akan menggunakan data tersebut untuk gerak kerja yang lebih tertumpu.
Beliau dan pasukannya memberikan sokongan penuh kepada bakal calon iaitu Dr Joachim dalam PRN17 nanti dan akan memastikan penglibatan PGRS dalam jentera kempen bagi membantu calon tersebut.
“Kita memberi jaminan 100 peratus bahawa PGRS Kundasang akan memberi kerjasama sehabis baik dan tanpa berbelah bahagi demi memastikan calon GRS kekal menyandang kerusi DUN tersebut,” katanya.
Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh para orang-orang kuat kedua belah parti dan para penyokong tegar yang turut berlapang dada terhadap kerjasama yang akan dijalankan itu.



