SEBAHAGIAN… ahli ahli PBBS Labuan yang menyertai aktiviti gotong royong tersebut.
LABUAN: Seramai 100 ahli Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan mengadakan aktiviti gotong royong amal membersihkan tanah perkuburan orang Islam Kampung Batu Arang Jalan Arshad dekat sini, pada Sabtu lalu.
Aktiviti itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Arang.
Ketua Biro Kesihatan PBBS Labuan, Sharifah Anyanjjau berkata, program itu diadakan bertujuan mepupuk kerjasama diantara ahli persatuan dalam melakukan kerja-kerja amal.

GOTONG ROYONG… ahli ahli persatuan ketika bergotong royong membersihkan tanah perkuburan Islam Kampung Batu Arang.
“Ini merupakan program pertama yang kami lakukan, alhamdulilah sambutan di kalangan ahli ahli yang ingin bersama-sama melakukan aktiviti amal ini amat memberangsangkan.
“Pada masa akan datang, kami di persatuan akan mengadakan program seperti ini agar persatuan ini sentiasa bergerak aktif”, katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Pengerusi PBBS Cawangan Labuan, Asnoin Chiplin menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Biro Kesihatan yang telah bertungkus lumus mengadakan aktiviti yang bermanfaat.
“Tahniah kepada Biro Kesihatan yang telah mengadakan gotong royong dan ia harus diteruskan pada masa akan datang kerana dengan aktiviti ini memberikan manfaat yang baik kepada ahli-ahli persatuan dan warga Labuan” katanya.
Asnoin turut mengesa agar ahli ahli dalam persatuan sentiasa membantu dan bekerjasama demi memastikan hubungan silaturahim dalam persatuan sentiasa utuh.