JOHAN….. Pasukan CTG Raptors Keningau menerima hadiah daripada Nor Hizwan sambil diperhatikan Raynie ( empat dari kanan)
LABUAN: Pasukan CTG Raptors dari Keningau Sabah muncul johan Pertandingan Bola Jaring Terbuka Piala PESOWNA 2022 selepas menewaskan pasukan NB Mix dari Kota Kinabalu pada perlawanan akhir pertandingan itu yang diadakan di Dewan Arena Bukit Kuda, dekat sini pada Ahad.
Dengan kemenangan itu pasukan CTG Raptors membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, manakala pasukan NB Mix yang terpaksa berpuas hati untuk bergelar naib johan menerima hadiah wang tunai RM800.
Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan tuan rumah VIC’s Netball dan tempat keempat dimenangi oleh pasukan Blitz. Kedua duanya dari Labuan.
NAIB JOHAN… pasukan NB Mix menerima hadiah daripada Nor Hizwan
Sementara itu, tiga pemain dari CTG Raptors turut memenangi anugerah pemain terbaik kejohanan (Serreny Nasib@Atan), penjaring terbanyak (Farzeela Vincent) dan penghadang terbaik (Diana Elvia Dementrius).
Manakala pemain dari NB Mix, Farahayni Yahya dinobat sebagai penyerang terbaik kejohanan.
Majlis penyampaian hadiah di sempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC), Nor Hizwan Ahmad.
Hadir sama Pengerusi PESOWNA Labuan, Raynie Datuk Mohd Din.
Pertandingan anjuran PESOWNA dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dan Gold Feather Netvball Club itu telah disertai 10 buah pasukan membabitkan penyertaan dari Sabah selain tuan rumah Labuan.