Rafie menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam pertandingan itu.
KENINGAU: Pasukan Che Yee Khor Moral Uplifting Society Lahad Datu muncul juara dalam Pertandingan Tarian Singa Terbuka Sabah 2023 yang diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan di sini pada malam Ahad.
Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Persatuan Penganut Dewa Tian Fa Wei Ling Keningau Tarian Singa dan Naga, dan Persatuan Penganut Agama Sin Ong Dian Labuan.
Pemenang tempat pertama membawa pulang hadiah berupa piala, medal dan wang tunai berjumlah RM3000.
Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah berupa medal dan wang tunai RM2000 dan RM1000.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Pengerusi penganjur, Rafie Robert pada majlis perasmian dan penyampaian hadiah pertandingan berkenaan.
Sebanyak 18 pasukan menyertai pertandingan ini dari seluruh Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang mana pertandingan ini dianjurkan oleh Persatuan Pelancongan Dan Kebudayaan Keningau bersama Persatuan Kebudayaan Hong Teck Malaysia.
Rafie yang juga Pengerusi Persatuan Pelancongan Dan Kebudayaan Keningau berharap agar anjuran kali ini akan memberi pengalaman yang berharga dan melonjakkan kemahiran kepada peserta seterusnya mewujudkan daya saing di peringkat yang lebih tinggi.
Tambahnya, pertandingan ini merupakan julung kalinya diadakan di Daerah Keningau dan beliau berharap agar lebih banyak acara-acara berprestij dapat dilaksanakan di daerah ini bagi meningkatkan lagi kehadiran pelancong di daerah ini.
“Persatuan Pelancongan Dan Kebudayaan Daerah Keningau juga sentiasa bersedia untuk memberikan sokongan kepada semua agensi kerajaan, swasta atau Pertubuhan Bukan Kerajaan untuk menganjurkan pelbagai acara di daerah ini,” katanya ketika berucap merasmikan pertandingan itu.