Abd Rahman menyerahkan bendera Wilayah Persekutuan Labuan kepada Mohd Mazlan dan Sairan disaksikan pemain Bola Tampar MAKSAK Labuan,
LABUAN: Pasukan Wilayah Persekutuan Labuan mensasarkan layak ke suku akhir Kejohanan Bola Tampar Lelaki Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Malaysia yang berlangsung di Stadium Paroi Negeri Sembilan hujung minggu ini.
Pada kejohanan itu, pasukan Labuan akan bersaing dengan pasukan PDRM, Penjara dan Terengganu.
Majlis penyerahan bendera Wilayah Persekutuan Labuan disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali yang juga Naib Yang Dipertua MAKSAK Labuan di Lapangan Terbang Labuan, kelmarin.
Majlis ringkas itu disaksikan oleh Setiausaha MAKSAK Labuan, Sharullizan Sapar.
Pasukan bola tampar MAKSAK Labuan diketuai Pengurus, Sairan Said dari JBPM Labuan bersama jurulatih Mohd Mazlan Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
Manakala Akbar Sulaiman dari LHDN bertindak sebagai ketua pasukan.
Skuad Labuan dibarisi 11 pemain iaitu Akbar Sulaiman (LHDN), Hisyamuddin Hamdan (Pendidikan), Mohd Jasri Nohd Masrap (Pendidikan), Hezreay Hamilan, Midzmar Harun (Pendidikan) dan Mohd Khairul Tarmizi Masri (Pusat Koreksional Labuan).
Turut terpilih menyarung jersi Labuan pada edisi tahun ini ialah lima anggota JBPM Labuan iaitu Fellyvically Adrian Majada, Baco Mohd Aidil Mohd Salleh, Mohd Irwan Shah Ramis, Nurhafiz Mohd Izzat Irzan dan Leonard Jipanis.
Abd Rahman berharap pemain Labuan akan memberikan saingan sengit kepada tiga lagi pasukan dalam kumpulan berkenaan.
“Tunjukkan semangat juang yang tinggi. Bertarung hingga ke mata terakhir, Jangan mudah menyerah kalah kepada lawan”, katanya.