Coach Lady, Coach Keiru dan Coach Aaron bersama pasukan U12 tersebut
RANAU: Selari dengan usaha membangunkan pemain dari peringkat awal, pasukan bawah 12 tahun Kelab RYFC, baru-baru ini telah dihantar untuk menyertai Kejohanan Bola Sepak Kelab Sungoi Laut (KBSKSL) yang berlangsung pada 11 dan 12 Mei 2025 di Kota Marudu.
Pasukan ini diketuai oleh Muhammad Haikal Bin Hafezi sebagai Kapten Pasukan, Ketua Jurulatih Coach Keiru, Pengurus Pasukan Coach Lady, Pembantu Jurulatih Coach Aaron Duff dan dua orang fisioterapi muda, Archie dan Aliff Ramdhan.
Pasukan berjaya muncul juara kumpulan dan melangkah ke suku akhir bertemu Soronsob FC.
Sasaran awal kelab adalah untuk berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik, dan menurut Coach Keiru, kejayaan ini adalah pencapaian yang sangat bermakna bagi pemain muda kelab.
Lebih penting daripada keputusan perlawanan, katanya, ialah pengalaman bermain di luar daerah buat julung kalinya yang memberi pendedahan baharu kepada anak-anak muda kelab.
Seterusnya, pada 24 dan 25 Mei ini, RYFC akan menghantar pula pasukan bawah 10 tahun ke Kota Marudu untuk menyertai Kejohanan Bola Sepak Piala BASE Terbuka Sabah.
Seperti pasukan bawah 12 tahun, tujuan utama penyertaan ini adalah untuk memberikan pengalaman pertandingan sebenar kepada pemain muda serta membina keyakinan dalam suasana kompetitif.
Sebagai sebahagian daripada persiapan ke arah penyertaan kejohanan dan pembangunan berterusan, pihak kelab sedang merangka lebih banyak sesi latihan dan merancang perlawanan persahabatan antara pemain dalaman dengan kelab-kelab atau pasukan-pasukan dalam dan luar daerah Ranau.
Langkah ini penting bagi memperkukuhkan kefahaman taktikal dan meningkatkan mutu permainan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, RYFC turut meluahkan rasa syukur dan gembira apabila kelab kini telah disahkan secara rasmi bernaung di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pengiktirafan ini memberi semangat baharu dan keyakinan tinggi kepada pihak pengurusan untuk terus mengorak langkah dalam dunia pembangunan bola sepak akar umbi.
Pihak kelab juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dalam menjayakan program dan aktiviti kelab – termasuk ibu bapa, penyumbang, sukarelawan dan rakan strategik.
Tanpa sokongan berterusan ini, RYFC tidak mungkin dapat terus bergerak aktif demi kemajuan anak-anak muda Ranau dalam dunia bola sepak.
Menurut Coach Keiru, pendaftaran ahli baru iaitu pemain kelab masih dibuka, sesiapa yang ingin mendaftarkan anak untuk mengikuti Kelab RYFC boleh la menghubungi saya di talian 0168361863 atau Pengurus Kelab iaitu Coach Lady 011-25110248.



