DSP Sammy (kanan) turut serta dalam operasi mencari mangsa hilang bersama pasukan SAR
RANAU, 03 April: Genap 14 hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar menoreh getah di Kampung Miruru, di sini lebih dua minggu lepas temui jalan buntu, SAR ditamatkan hari ini.
Ketua Polis Daerah Ranau DSP Sammy Newton, dalam satu kenyataan media kira-kira 8 malam tadi berkata, pihak keselamatan melalui perbincangan dengan ahli keluarga mangsa telah bersetuju untuk menamatkan SAR jam 4 petang tadi.
Katanya, keputusan menamatkan SAR dibuat selepas tiada sebarang petunjuk positif ditemui sepanjang operasi meliputi pencarian seluas 15 kilometer radius dari kawasan pondok (sulap) mangsa, kawasan sawah, kebun, sungai-sungai berhampiran, hutan hingga ke kawasan Gunung Mantapok.
“Semua kawasan pencarian telah digeledah dan tiada petunjuk baharu yang dapat membantu pencarian oleh pasukan SAR.
“Usaha pencarian juga diperluaskan melalui siaran media dan hebahan di laman sosial sejak laporan pertama diterima namun sehingga kini SAR masih temui jalan buntu,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin.
Menurut DSP Sammy lagi, tiadanya sebarang maklumat yang tepat serta saksi yang kompeten turut menyebabkan usaha pencarian sukar difokuskan.
Walau bagaimanapun katanya, pihak polis akan sentiasa memantau perkembangan kes tersebut dari masa ke semasa dan kes diklasifikasikan sebagai kes Orang Hilang (OH).
Dalam pada itu, beliau meminta kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kehilangan mangsa supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis atau kepada ahli keluarga mangsa.
DSP Sammy turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi, penduduk kampung, sukarelawan dan orang perseorangan yang terlibat dalam operasi mencari mangsa.
Sejak SAR dilancarkan 21 Mac lalu, seramai 80 orang pegawai dan anggota daripada beberapa agensi telah terlibat terdiri pegawai dan anggota polis IPD Ranau, Unit Tiger Platun Batalion 16 PGA, Bomba Dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA dan turut disertai lebih kurang 30 orang penduduk kampung.
Dalam kejadian 16 Mac lalu, Mikol Lapon, 68, dilaporkan hilang selepas keluar menoreh getah di Kg.Miruru, kira-kira 83 kilometer daripada pekan Ranau.
Pada 21 Mac, keluarga mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau selepas usaha mencari mangsa oleh penduduk kampung menemui jalan buntu.