28.2 C
Kota Kinabalu
Isnin, Oktober 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Nurul Hafizah Wakili Sabah Ke Peringkat Kebangsaan Bintang Kecil 2025

Persembahan Nurul Hafizah yang memukau juri.


KOTA KINABALU:   Adik Nurul Hafizah Safri dari Tawau bakal mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan Pertandingan Bintang Kecil 2025 yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak pada 20 September ini. 

Beliau dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Zon Sabah dalam pusingan Debaran Bintang Kecil 2025 yang berlangsung baru-baru ini, sekali gus melayakkan dirinya mara ke pentas akhir.

Dengan perbezaan markah yang tipis, Nurul berjaya mengatasi pesaing rapat, Adik Hannah Jean Roney dan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Pengarah Penyiaran Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali menyampaikan ucapan tahniah dan berharap agar peserta dari Sabah mampu menyerlah di peringkat kebangsaan.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua peserta yang menunjukkan persembahan terbaik hari ini, khususnya kepada Adik Nurul dari Tawau. Beliau berjaya memberi persembahan yang luar biasa dan layak ke peringkat kebangsaan untuk mewakili Zon Sabah. Saya harap kemenangan ini akan membawa kejayaan yang lebih besar di Sarawak nanti,” ujar beliau.

Semenytara itu, Nurul Hafizah juga meluahkan kesyukuran atas kejayaan tersebut dan berjanji untuk memberikan yang terbaik di pentas akhir.

“Harapan saya semoga saya dapat buat yang terbaik di Sarawak nanti dan membanggakan daerah Tawau serta Negeri Sabah,” katanya.

Sokongan penuh turut diberikan oleh keluarga, termasuk ibu saudaranya, Misbaria Maidin yang melihat perkembangan positif Nurul sejak menyertai pertandingan ini.

“Pentas Bintang Kecil ini banyak kebaikan untuk anak-anak seperti anak saudara saya. Dia kini lebih berani berhadapan dengan orang ramai, berbanding dahulu yang agak pemalu. Banyak pengalaman yang diperolehnya melalui pertandingan ini,” jelas Misbaria.

Sebanyak 11 peserta dari Brunei, Indonesia, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bakal berentap dalam pentas kemuncak yang mengetengahkan konsep Metaverse serta menampilkan gabungan kreativiti digital dan persembahan langsung sebagai kelainan utama tahun ini./ PENERANGAN-



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN