ADVERTISEMENTspot_img

Fitnah tular: ADUN Apas buat laporan polis, arah peguam ambil tindakan

NIZAM menunjukan salinan laporan polis yang dibuat

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan menafikan sekeras-kerasnya penyebaran tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular kononnya mengaitkan beliau dengan beberapa individu lain.

Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, fitnah tersebut jelas direka bagi memburukkan nama beliau dan mencemar imej parti.

“Petang ini saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu

“Fitnah ini jelas berunsur politik kotor kerana individu sama pernah menularkan isu serupa terhadap ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengarahkan peguam mengeluarkan Notis Tuntutan (Letter of Demand, LOD) terhadap individu dikenali sebagai Tandiko Bin Dalusin atau nama akaun Facebook “Huzaifah Al-Likasi”, yang didakwa dalang utama penyebaran fitnah tersebut.

Menariknya, katanya lagi, Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman dalam siaran langsung di media sosial tengah hari tadi turut mengakui bahawa tangkap layar WhatsApp yang ditularkan itu adalah palsu.

“Ini membuktikan fitnah yang disebarkan tidak benar dan semata-mata rekaan,” jelas Nizam.

Beliau menegaskan, politik harus berlandaskan hujah, fakta dan idea, bukannya fitnah atau manipulasi kerana penyebaran fitnah sebegini bukan sahaja menjejaskan reputasinya, malah boleh menimbulkan keresahan awam terutama apabila dikaitkan dengan isu sensitif seperti Justice for Zara.

“Saya serahkan kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan segera terhadap pihak terlibat,” katanya.

Sementara itu, Nizam turut menyentuh mengenai himpunan Justice for Zara Qairina di Tawau pada 31 Ogos lalu, yang menurutnya mencerminkan solidariti masyarakat dalam menuntut keadilan atas kematian tragis kanak-kanak berkenaan.

“Saya menghormati hak masyarakat untuk bersuara. Namun, saya menyeru agar himpunan sebegini tidak dicemari dengan ucapan atau tindakan melampaui batas undang-undang,” ujarnya sambil menambah bahawa pihak polis telah mengambil tindakan berhubung insiden ucapan berunsur hasutan yang dilaporkan semasa perhimpunan itu.

Menurut beliau, fokus utama ketika ini adalah memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mencari penyelesaian jangka panjang demi keselamatan pelajar di negeri ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN