26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Mustapha gesa Jabatan Air Negeri Sabah ambil langkah drastik tangani krisis air

Mustapha Sakmud…JANS perlu mengambil langkah drastik.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar mengambil langkah drastik dalam menangani krisis air yang menghantui penduduk di kawasan Parlimen itu.

Jelas beliau, projek Loji Rawatan Air Telibong Dua perlu diberi fokus untuk disiapkan segera selain Kerajaan Persekutuan sebelum ini katanya telah menyatakan kesediaan untuk membantu kerajaan negeri dalam aspek pemberian peruntukan.

“Saya menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar mengambil langkah drastik dalam situasi sebegini. Ini bukan lagi isu bekalan air biasa tetapi krisis air. Lebih 300,000 orang Penduduk Sepanggar bergantung harap terhadap kecekapan JANS menyelesaikan masalah ini.

“JANS perlu menyegerakan penyiapan projek Loji Rawatan Air Telibong Dua. Kerajaan Persekutuan melalui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk membantu kerajaan negeri menyelesaikan masalah infrastruktur dan air di negeri ini dalam konteks pemberian peruntukan”, ujar Mustapha dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Mustapha turut menambah, pihaknya sedang menunggu panggilan mesyuarat daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan isu penempatan setinggan di kawasan Sepanggar yang turut dikaitkan dengan kegiatan mencuri air sebelum ini.

Kata Mustapha, satu mekanisme baharu perlu dicari dan diteliti bagi menyelesaikan isu penempatan setinggan di Parlimen Sepanggar dengan mengambil kira aspek kemanusiaan tanpa mengabaikan kepentingan penduduk Sepanggar secara amnya.

“Saya sedang menunggu panggilan mesyuarat daripada pihak DBKK untuk mendapatkan gambaran terperinci isu penempatan setinggan yang baru-baru ini turut dikaitkan dengan kegiatan mencuri air.

“Satu mekanisme baharu perlu difikir dan diteliti bagi menyelesaikan isu penempatan setinggan di kawasan Sepanggar dengan mengambil kira nilai kemanusiaan. Dalam masa yang sama juga, keperluan dan kepentingan penduduk Sepanggar menjadi keutamaan tertinggi saya dalam isu ini”, Mustapha menambah.

Terdahulu, Mustapha selepas menunaikan solat Jumaat melakukan tinjauan di kawasan paip agihan air Kampung Suang Parai yang didakwa penduduk menjadi sasaran kegiatan mencuri air oleh penduduk penempatan setinggan berhampiran.

Turut hadir sewaktu tinjauan itu, wakil daripada DBKK.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN