LABUAN: Majlis Perwakilan Penduduk Labuan (MPP) Wilayah Persekutuan Labuan berharap sekiranya kerajaan membenarkan sektor ekonomi dibuka semula agar ianya tidak mengancam sektor kesihatan di pulau ini.
Pengerusinya, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan (gambar) berkata, tidak dapat dinafikan aktiviti perkapalan dan minyak dan gas merupakan antara penyumbang besar kepada ekonomi negara khususnya Labuan itu sendiri.
“Namun Labuan baharu sahaja menuju fasa dua pemulihan setelah berhadapan dengan situasi sukar dengan serangan varian Delta sekaligus memberikan kesan kesihatan yang amat teruk kepada kesihatan dan ekonomi Labuan” katanya kepada media di sini, ketika diminta mengulas mengenai pembukaan semula sektor ekonomi Labuan pada Sabtu.
Justeru itu, MPP Labuan menyokong penuh keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Wilayah Persekutuan Labuan dan Jawatakuasa Pusat Penyelarasan dan Pengurusan COVID 19 (CCMC) untuk menangguhkan terlebih dahulu pembukaan sektor ekonomi termasuk aktiviti pelabuhan yang membabitkan kemasukan kapal asing ke pelabuhan Labuan sehingga SOP khas dikeluarkan bagi mengelak kejadian COVID 19 yang menyerang Labuan tidak berulang.
“Biarlah kita pulih sepenuhnya dari ancaman pendemik COVID 19 dan saya percaya mereka juga (JPBD) sedang melihat kepada kesan ekonomi dan mempunyai pelan perancangan yang menjadi penyelamat ekonomi dan kesihatan rakyat” katanya.
Dalam pada itu katanya, Labuan perlu segera bergerak ke fasa 2 dan fasa-fasa seterusnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membolehkan lebih banyak sektor ekonomi di buka.
“Usahawan dan peniaga kecil tempatan perlu diberikan perhatian setelah terkesan akibat pendemik COVID 19. Dan kita jangan terlalu leka yang akhirnya peluang untuk kita bergerak ke fasa seterusnya tertutup disebabkan kegagalan mengawal pendemik” katanya.