BARISAN MPP Labuan….Mohd Dzulfaizal (duduk tengah), Hadnan (duduk dua kiri), Willy Lim ( duduk dua kanan) bersama AJK MPP Labuan.
LABUAN: Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Labuan yang baharu ditubuhkan komited untuk memberikan kerjsama dalam menjayakan program yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan.
Demikian kata, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan dalam ucapan aluannya pada Mesyuarat pertama Pengurusan MPP Labuan yang diadakan di Labuan Sunset Café, Layang-layang pada Rabu.
Hadir sama, Timbalannya, Haji Hadnan Mohammad dan Setiausaha Lim Wei Chung @ Willy serta 13 AJK yang dilantik.
Selain itu, MPP Labuan dan MPP diperingkat Sub Zon juga akan terus bekerjasama dan berganding bahu dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebagai usaha berterusan memajukan kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.
“MPP akan terus komited untuk bekerjasama dengan agensi dan jabatan kerajaan terutamanya Perbadanan Labuan dalam menjayakan apa juga program yang dirancang oleh kerajaan termasuk juga program program yang dilaksanakan oleh MPKK” katanya.
Mesyuarat yang berlangsung dalam suasana harmoni itu turut melantik lapan Ketua Biro yang diwujudkan dalam organasasi MPP Labuan.
Mereka yang diberi kepercayaan untuk mengetuai biro berkenaan ialah Nazera Rozlan sebagai Ketua Biro Pendidikan dan Modal Insan, Siti Norayanie Amat (Biro ICT dan E-Komuniti), Juliana Haji Ibrahim (Biro Ekonomi dan Pembangunan), Chong Sin Lui (Biro Kesejahteraan Bandar), Noor Ernie Jamil (Biro Kebersihan dan Kesihatan).
Turut dilantik ialah Clement Tiansun sebagai Ketua Biro Keselamatan, Ramli Mohamad (Biro Aduan dan Kebajikan) dan Saifful Pungot (Biro Sosial dan Sukan).