SERAH….Annuar menyerahkan watikah kepada Mohd Dzulfaizal sambil diperhatikan Hajah Rosida (kiri sekali), Bashir (dua kiri) dan Dr. Fary (kanan sekali)
LABUAN: Setiausaha UMNO Bahagian Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab Manan, dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Labuan bagi sesi 2020-2021.
Mohd Dzulfaizal 37, yang juga mantan Presiden Majlis Belia Labuan (MBL) 2010-2015 menerima watikah pelantikan tersebut pada Majlis Penyampaian Watikah MPPWP Labuan sesi 2020-2021 oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa yang diadakan di Wisma Perbadanan Labuan, pada Ahad.
TAHNIAH… kesemua 15 anggota MPPWP Labuan bersama watikah perlantikan bagi sesi 2020-2021.
Hadir sama menyaksikan majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Hajah Rosida Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zainun dan Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Bashir Haji Alias.
Turut menerima watikah pelatikan pada majlis itu ialah lima pengerusi MPP Sub Zon Labuan masing-masing Abdul Rahim Mohd Salleh (Subzon 1), Chew Chin Hui (Subzon 2), Haji Omar Masir (Subzon 3), Ahmad Junit Mohd Aling @Aling (Subzon 4) dan Fadillah Eddy Abdul Khalid (Subzon 5).
Selain itu, Annuar juga turut menyampaikan watikah bagi jawatan Timbalan Pengerusi dan Setiausaha bagi setiap Subzon.
Terdahulu, Annuar ketika menyampaikan amanat pelantikan itu berkata, setiap Pengerusi Zon dan Pengerusi Subzon yang dilantik harus memainkan peranan dalam menerajui perubahan minda masyarakat khususnya pembaharuan serta penambahbaikan yang dibawa oleh kerajaan.
“Malah dalam situasi menagani pandemik COVID 19 ini, wakil MPPWP juga perlu berperanan sebagai pasukan barisan hadapan bagi meningkatkan kesedaran dan literasi dalam kalangan komuniti untuk mengamalkan normal kehidupan baharu” katanya.
Jelas beliau lagi, MPPWP selaku penghubung di antara kerajaan dan rakyat perlu menyalurkan maklumat, maklum balas, aduan, masalah permintaan atau keperluan penduduk kepada Perbadanan Labuan selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Diharapkan barisan MPPWP yang baharu ini sentiasa bekerjasama dan berganding bahu dengan pihak kerajaan serta melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan berintegriti bagi memastikan semua inisiatif dan bantuan kerajaan dapat diterima dan difahami dengan jelas oleh rakyat.
Sementara itu, Mohd Dzulfaizal berkata, semua pelantikan barisan baharu itu berdasarkan koposisi ahli parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang membabitkan UMNO, PAS, PPBM dan MCA. –Borneo Daily Bulletin