ADVERTISEMENTspot_img

MINDET kerjasama dengan ASSEAN JCI dan NGO lain promosi Sabah sebagai destinasi pelaburan – Ewon

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan terus memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan serantau seperti Association of JCI Senator in The South East Asian Nations (ASSEAN) JCI serta badan bukan kerajaan (NGO) lain dalam usaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan berdaya saing.

Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick, berkata kerjasama strategik antara kerajaan dan organisasi seperti Junior Chamber International (JCI) amat penting dalam memacu kemajuan serta pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan perniagaan di negeri ini.

“Kerajaan negeri melalui MINDET komited menyokong pembangunan usahawan dan pemimpin muda termasuk ahli JCI menerusi pelbagai inisiatif seperti akses pembiayaan, latihan keusahawanan, program pembangunan kapasiti serta jaringan strategik bersama pemain industri dan pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis ASSEAN 1st Board of Directors Meeting & Installation 2026, di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Ewon berkata, kementeriannya akan terus memperluas akses pasaran termasuk membantu usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa di samping memperkukuh sistem logistik dan rantaian bekalan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan di Sabah.

“MINDET akan terus melipat gandakan usaha mempromosi Sabah sebagai destinasi pelaburan, perindustrian dan perniagaan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kolaborasi erat antara kerajaan dan NGO mampu melahirkan lebih ramai pemimpin berwibawa serta usahawan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara organisasi, malah membuka lebih banyak peluang pelaburan dan jaringan perniagaan yang memberi manfaat kepada Sabah,” katanya.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada delegasi dari negara ASEAN yang hadir serta menyifatkan komitmen mereka sebagai cerminan tahap kepimpinan dan dedikasi yang tinggi dalam organisasi berkenaan.

“Tahniah kepada Patricia Poh atas pelantikan sebagai Presiden Senator JCI yang pertama dalam kalangan wanita dari Sabah dan juga ucapan penghargaan atas sumbangan presiden terdahulu, Theodore Garcia, atas kepimpinan beliau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap penganjuran program berkenaan dapat mempererat hubungan, mengukuhkan jaringan persahabatan serta meningkatkan kerjasama dalam kalangan ahli JCI di peringkat serantau.

Ewon turut mengalu-alukan kehadiran semua delegasi ke Sabah dan menggalakkan mereka meneroka potensi pelaburan serta peluang perniagaan yang ditawarkan negeri ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN