26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Menu RAHMAH Telah Sedia Untuk Rakyat Sandakan


SANDAKAN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, telah melakukan Jelajah Menu RAHMAH di Negeri Sabah sekaligus melancarkan Inisiatif Menu RAHMAH peringkat Negeri Sabah di Pasar Raya MYDIN, Sandakan, Sabah pada hari Sabtu.


Hadir sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahtetaan Rakyat, merangkap Exco KPDN dan Adun Sugut, Datuk James Ratib.


Dalam rogram itu, Salahuddin berkata, kerajaan mengucapkan terima kasih kepada MYDIN atas komitmen memperluaskan Inisiatif Menu RAHMAH ke cawangannya di Sandakan, Sabah.


“Walaupun harga kos bahan mentah di Sandakan Sabah mungkin berbeza berbanding di semenanjung, MYDIN tetap menawarkan Menu RAHMAH di Sandakan pada harga di bawah RM5.00 bagi setiap hidangan,” katanya.


MYDIN menawarkan set sarapan pagi pada kadar harga yang berpatutan sekitar RM2.50 yang berupa Mi, Mihun dan Kuetiau Goreng, Nasi Lemak Biasa dan Nasi Goreng Biasa.


Manakala bagi Menu RAHMAH yang ditawarkan pula terdiri dari kombinasi Nasi, Sayur dan Ikan atau Ayam mengikut hari pada harga RM4.90 per hidang beserta air mineral.


Menu RAHMAH adalah inisiatif terbaru Kerajaan yang telah tular dalam membantu dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan yang memerlukan untuk mendapatkan makanan bermasak yang seimbang pada harga RM5.00 dan ke bawah.


Menu RAHMAH adalah inisiatif sukarela syarikat swasta di mana Kerajaan tidak menentukan harga, kaedah pelaksanaan, bahan-bahan, serta lauk bagi Menu RAHMAH yang ditawarkan, asalkan ianya seimbang dengan kandungan protein, karbohidrat dan serat berupa sayur-sayuran.


Bagi premis yang telah pun menjual sesebuah hidangan atau menu pada harga RM5.00 atau ke bawah, mereka boleh menjenamakan semula menu itu sebagai Menu RAHMAH.


Kerajaan amat mengalu-alukan premis yang bersedia mengurangkan harga menu sedia ada yang ditawarkan di premis mereka kepada harga Menu RAHMAH tanpa mengubah kuantiti dan kualiti hidangan tersebut.


Berdasarkan maklumbalas daripada peniaga yang telah menyertai inisiatif ini, Menu RAHMAH telah dijadikan model perniagaan Daya Penarik Pelanggan (Crowd Puller) untuk menarik pelanggan ke premis mereka.


Dengan itu pendapatan mereka dapat ditingkatkan melalui kuantiti jualan yang dapat menampung pengurangan margin dan pada masa yang sama turut bersama-sama dalam usaha kebajikan kepada mereka yang memerlukan.


“Kerajaan ingin mengucapkan syabas atas usaha KPDN Negeri Sabah melaksanakan Inisiatif PAYUNG RAHMAH di beberapa bandar di Negeri Sabah.


“Selain di Pasar Raya MYDIN, Menu RAHMAH turut ditawarkan di Sandakan di restoran-restoran seperti Aroma Bistro Elopura, Restoran Sandokan, Artapila Cafe, Budiman, Cinerama Cafe, Kafe Coop & Katering KWBBS, Koperasi Wanita Berjaya Batu Sapi Sandakan, Menu by Ume dan Plangon Chicken Rice.


“Kerajaan sentiasa komited dalam membantu mempromosi premis yang menyediakan Menu RAHMAH,” kata Salahuddin.


Sehubungan dengan itu, KPDN telah mewujudkan satu portal bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat lokasi premis menjual Menu RAHMAH yang berdekatan dan peniaga juga boleh mendaftar penyertaan mereka dengan melayari https://menurahmah.kpdn.gov.my.


Sehingga 11 Mac 2023, lebih dari 1,531 premis perniagaan telah mendaftar dalam melaksanakan Inisiatif Menu RAHMAH dan ini termasuk gerai makan, restoran, kafeteria, food court dan yang terbaru rangkaian restoran seperti OldTown White Coffee dan rangkaian makanan segera seperti Burger King, Marybrown dan juga McDonald’s .


KPDN menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya industri restoran, makanan dan peruncitan di negeri Sabah supaya bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini bagi meringankan kos sara hidup rakyat.


Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdn.gov.my.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN