TIBA…. Annuar Musa (dua dari kanan) disambut oleh pegawai Kementerian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan dan para pemimpin tempatan setibanya di lapangan terbang Labuan, pada Ahad.
LABUAN : Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa melakukan lawatan kerja tiga hari ke Labuan bermula hari ini.
Beliau yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Hajah Rosida Jaafar dan Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Zaizainizam Zainun tiba dilapangan terbang Labuan kira-kira jam 9 pagi.
Hadir menyambut ketibaan Annuar ialah Ketua Umno Bahagian Labuan, Datuk Bashir Haji Alias, Yang Di Pertua PAS Labuan, Haji Hamir Haji Zahari dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman,

Sempena lawatan sulung beliau ke Labuan selepas dilantik Menteri Wilayah Persekutuan, beliau dijadual mengadakan beberapa siri lawatan kerja antaranya meninjau Projek Jalan Pesisir Pantai Membedai, Projek Dewan Komuniti Kampung Patau-Patau dan meninjau projek menaik taraf Jalan Kampung.
Beliau juga akan meninjau Projek Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ikan tuna di Jabatan Perikanan Labuan dan pemprosesan ikan bilis di Kampung Bebuloh.
Manakala pada sebelah petangnya, beliau akan mendengar taklimat mengenai Pembangunan dan Hala Tuju Perbadanan Labuan serta menyampaikan watikah perlantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan.
Esok pada sebelah pagi, Annuar dijangka akan menghadiri Program Sesi Temubual Khas Menteri Wilayah Persekutuan di konti Labuan FM, RTM dan seterusnya akan menyususri kampung untuk menyampaikan sumbangan kepada 11 buah keluarga asnaf yang terdapat di sekitar Labuan.
Pada sebelah petang esok, beliau akan di bawa melawat ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Wilayah Persekutuan Labuan.
Manakala pada hari terakhir lawatan (Selasa) , beliau dijadual akan mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik Muafakat Nasional serta di bawa meninjau Pusat Tranformasi Bandar (UTC) dan pasar Sentral. -Borneo Daily Bulletin