25 C
Kota Kinabalu
Selasa, April 22, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

MAYAT LELAKI DITEMUI BERHAMPIRAN PASAR MALAM RANAU, DIPERCAYAI DIBUNUH

TERBARING…Mayat lelaki warga Filipina yang dipercayai dibunuh ditemui berhampiran Pasar Malam di sini pada petang Jumaat

0leh: Aduka Jasnin Suman

RANAU: Mayat lelaki warga Filipina dipercayai dibunuh ditemui dalam kawasan semak berhampiran tangki air dekat Pasar Malam, di sini petang kemarin.
 

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden (DSP) Simiun Lomudin berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung penemuan mayat lelaki berkenaan.

DSP Simiun Lomudin

Katanya, susulan laporan yang diterima, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau telah digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak pasar malam Pekan Ranau.

“Polis yang tiba di lokasi itu mendapati satu mayat lelaki dengan kesan kecederaan pada bahagian kepala dan lebam pada dada dipercayai kesan objek tumpul.

“Pemeriksaan awal mendapati, mangsa seorang warganegara Filipina berumur dalam lingkungan 30-an dan berkerja sebagai buruh kasar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut DSP Simiun, siasatan awal mendapati, kejadian disyaki berlaku sekitar jam 11.30 pagi hingga 1.00 petang hari yang sama dan dipercayai berpunca dari kes pergaduhan bermotifkan cemburu.

Katanya, menurut keterangan ahli keluarga mangsa, sebelum kejadian mangsa telah keluar bertemu dengan seorang wanita yang dikenali oleh suspek.

“Selepas kejadian itu, suspek yang juga seorang warga asing dipercayai telah melarikan diri.

“Polis kini sedang giat memburu suspek. Kes ini disiasat di bawah seksyen 302 kanun keseksaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, DSP Simiun yang turut hadir di lokasi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Beliau juga turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menggangu siasatan polis berhubung kejadian tersebut.
 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN