27 C
Kota Kinabalu
Ahad, Mac 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

MARTABATKAN ADAT RESAM AGAR TIDAK DITELAN ZAMAN – DR. JOACHIM

Gambar : Dr. Joachim (tengah bertopi), Florensia (kiri) dan Muhasip (kanan)

RANAU: Masyarakat di seluruh daerah ini khususnya di Mukim Kaingaran / Kawasan Kawiyan Ulu Sugut diseru agar terus memartabatkan adat resam atau tradisi yang diwarisi sejak turun temurun agar ia tidak luput ditelan zaman. Adat resam yang diwarisi sejak sekian lama itu sebaik-baiknya harus disemai ke semua lapisan masyarakat dan kaum khasnya generasi muda.

Berucap pada majlis perasmian Program Pemarkasaan Adat Anak Negeri di Dewan Kg. Manikulau, Kawiyan Ulu Sugut kira-kira 65.1 kilometer dari pekan baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata adat resam suatu waktu dahulu adalah undang-undang atau hak yang tidak bertulis dalam sesebuah masyarakat dan diamalkan secara turun-temurun sejak sekian lama serta diwarisi oleh nenek moyang. Ia adalah sesuatu yang kita lakukan, dan telah dilakukan untuk jangka masa yang lama.

“Apabila adat resam ini tidak diamalkan, ia akhirnya akan lenyap ditelan arus pemodenan. Sifat atau nilai kehidupan masyarakat kita tidak lagi akan dikenali oleh luar sedangkan adat resam itu sendiri melambangkan identiti kita sebagai masyarakat kadazandusun di negeri ini. Justeru itu sekali lagi saya menyeru kepada semua khususnya generasi muda agar terus mempelajari dan memahami adat resam kita agar ia terus terpelihara dan dimartabatkan” Katanya.

Terdahulu wakil Pegawai Daerah, Florensia Padasian (ADO) dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Mahkamah Anak Negeri kerana berjaya menganjurkan program yang julung kali diadakan itu melibatkan enam buah kampung di Mukim Kaingaran / Kawasan Kawiyan Ulu Sugut iaitu Kampung Kawiyan, Kampung Manikulau, Kampung Paka Sugut, Kampung Kilanas Sugut, Kampung Giring Sugut dan Kampung Patau.

“Pihak Pejabat Daerah merakamkan ucapan penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana atas kejayaan menganjurkan program ini dan harapan kita ialah para peserta yang terlibat mendapat ilmu menerusi beberapa ceramah awal khususnya melalui pembentangan buku adat yang disampaikan oleh Ketua Daerah.” Katanya.

Turut berucap ialah, O.K.K Muhasip Haji Ruman selaku Ketua Daerah.

“Program ini bertujuan untuk memantapkan lagi pengetahuan penduduk kampung berkenaan dengan adat resam di samping memberi kesedaran kepada generasi muda tentang betapa pentingnya menjaga adat resam agar tidak hilang ditelan zaman.” Katanya.

“Terdapat 3 objektif program ini diadakan. Pertama, memberi pemahaman berkenaan dengan adat resam kepada penduduk kampung berkenaan, meningkatkan kefahaman pengetahuan adat resam yang diwarisi dari nenek moyang sejak turun temurun dan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada generasi muda tentang adat resam dan kebaikan serta kesan pelanggaran adat.” Katanya lagi.

Turut sama dalam program itu ialah Setiausaha Politik Dr. Joachim, Yubidi Gumpoyo.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN