RAMPASAN… Anggota Maritim Zon Labuan yang berjaya merampas minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai cuba di seludup ke Menumbok.
LABUAN: Maritim Zon Labuan berjaya merampas minuman keras pebagai jenama berserta sebuah bot pancung dan tiga enjin bot dalam satu operasi Ops Sejahtera 1/2022, Ops Pagar Laut 1/2024 di Pulau Balangkasan kira-kira 2.9 batu nautika dari Wilayah Persekutuan Labuan, pada pagi Khamis.
Jumlah keseluruhan barang yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM 472,000.00.
Pengarah Zon Maritim, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, bertindak atas maklumat risikan pasukan APMM telah mengesan sebuah bot pancung jenis fiber tanpa nombor pendaftaran kira-kira jam 5.05 pagi yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan dari Pulau Labuan menuju Ke Menumbok di posisi 0.1 batu nautika dari Pulau Balangkasan.
“Semasa bot peronda menghampiri bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan… bot berkenaan telah bertindak memecut ke arah tebing hutan bakau muara Sungai Klias dan tekong telah melarikan diri ke hutan kayu bakau” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Hasil daripada pemeriksaan telah menemukan sejumlah 10,728 tin minuman keras dan botol pelbagai jenama dipercayai dibawa secara haram dan cuba diseludup keluar dari Labuan untuk pasaran tempatan.
Kes itu, katanya akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Beliau berkata, Maritim Zon Labuan meneruskan usaha mengesan dan memburu dalang serta suspek bagi memastikan pelaku jenayah dikenakan tindakan undang undang.
Izwanhadi berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan aktiviti jenayah dan akan mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan.
Beliau turut memohon kepada orang ramai untuk membantu pihaknya dengan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-453777 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.