30 C
Kota Kinabalu
Selasa, Disember 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

“Mari mendaftar program vaksinasi, jangan terpedaya dengan dakyah-dakyah songsang” -Prof Dr.Rem

Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS)

SAYA bukan pakar vaksin. Tapi saya tidak minta puji mau berceramah tentang aspek teknikal dan sains. Yang ini, biar mereka yang pakar promosikan.

Saya cuma mau berkongsi seruan supaya lebih ramai orang mendaftar program vaksinasi. Jangan terpedaya dengan dakyah-dakyah songsang.

76% penduduk Sabah belum lagi mendaftar, antara peratusan paling tinggi di Malaysia. Ada bermacam sebab. Selain isu marginal dan jurang digital, ia juga berpunca dari pengaruh spekulasi dan khabar angin.

Prof Dr. Ramzah Dambul

Serius, memang ada ramai manusia pendengki di dunia ini. Yang suka tengok kita sakit dan mati cepat. Mereka itu termasuk kaum mubaligh anti-vaksin. Yang gigih siang dan malam, berdakwah tentang fantasi-fantasi dusta.

Ya, betul. Semua perkara di dunia ini, terutama yang bersabit sains dan teknologi, ada risiko tersendiri. Hidup ini memang tepu dengan dilema pilihan. Tapi kita mesti menimbangtara antara musibah dan manfaat. Mana lebih berat, berasaskan ilmu dan fakta. Bukan ikut emosi dan perasaan.

Kalau sejuta yang ambil vaksin, mungkin ada beberapa orang berdepan komplikasi negatif. Satu kebarangkalian yang begitu tipis. Namun begitu, majoriti penerima akan dapat antibodi efektif untuk melawan virus.

Kadar kematian kemalangan jalanraya di Malaysia secara tipikal antara 2500-3500 setahun. Maksudnya, 78 kematian bagi setiap 1 juta. Risiko ini jauh, jauh lebih tinggi daripada pengambilan vaksin.

Tiada siapa pun berkempen: duduk kamu diam-diam di rumah. Jangan naik kenderaan. Tidak payah cari kerja. Kalau mau berjalan pun, ikut denai-denai dalam hutan. Jangan guna jalanraya, nanti kamu mati kena langgar.

Tapi kalau merayau ikut denai pun — kita boleh juga mati disondol babi hutan, atau dipatuk ular tedung. Kan? Jadi apa patut dibuat? Duduk pegun di rumah, tunggu sampai mati kebulur, kemudian mereput dimamah bakteria. Begitu?

Satu juta orang cedera setiap tahun sebab jatuh tersadunh di tangga. Jumlah kematian, sebanyak 12 ribu. Nah, naik tangga pun bahaya bah. Bagus kita semua mula belajar merangkak di lantai, macam belangkas di pantai. Boleh?

460 ribu kanak-kanak hilang setiap tahun, sebab diculik atau lari. Risiko yang amat tinggi. Jadi, perlukah kita pasung kaki anak-anak di ruang tamu? Jangan bagi mereka keluar rumah, jangan suruh pergi sekolah.

Yang paling saya tidak faham, golongan anti-vaksin yang kuat merokok. Enam juta kematian sebab rokok setiap tahun. Jadi, kenapa kamu halang satu dunia jangan ambil vaksin? Padahal bapa, anak atau kamu sendiri adalah perokok tegar sepanjang zaman.

Adakah mati akibat merokok jauh lebih mulia dan afdal, daripada berdepan risiko mati sebab vaksin? Ai seriously kenot brain dis la. Maaf ya. Bukan saya mencemuh orang yang merokok. BUKAN. Ini dituju eksklusif pada si anti-vaksin.

Kita semua mesti turun padang; sama-sama membantu tingkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan vaksinasi. Sebab daya perlindungan terhadap Covid-19 ini sifatnya kolektif, bukan individualistik.

Kalau kita saja dilindungi, tapi orang di sekeliling masih terdedah — maka rutin hidup kita sebagai komuniti sepunya masih belum boleh diteruskan dengan norma biasa. Sampai bila kita mahu hidup dalam kegusaran dan terkurung berpanjangan?

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN