Dr.Asyraf bersama Mohd Rafi ketika berucap Kepada pemberita selepas Persidangan Mesyuarat UMNO Bahagian Labuan yang diadakan baru baru ini.
LABUAN:Majlis Amanah Rakyat (MARA) komited untuk mengkaji secara holistik program sedia ada bagi memastikan relevan dengan keperluan pasaran kerja serta modul pembelajaran seiring dengan kehendak industri.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki berkata, selain itu pihaknya juga ingin memastikan kebolehpasaran tenaga pelatih yang mendapat latihan TVET itu mendapat gaji yang bermaruah.
Justeru itu MARA telah melihat kembali program program yang ditawarkan dikesemua 232 Pusat Giat MARA di seluruh negara termasuk Labuan benar benar relevan dengan keperluan pasaran kerja.
“TVET adalah game changer yang penting kerana dengan adanya TVET ini kita mengambil kira bagaimana GDP dan KDNK negara negara maju disumbangkan 67 peratus adalah daripada tenaga kerja yang mahir.
“Sebab itulah juga TVET yang di bawahnya ada pelbagai agensi termasuk MARA telah menawarkan lebih 250,000 peluang peluang kemahiran dalam 4,000 pelbagai bidang yang diperlukan dalam industri termasuk bidang bidang yang terkait dengan industri di Labuan”, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persidangan Tahunan UMNO Bahagian Labuan di sini, baru baru ini.
Dalam pada itu katanya dianggarkan lebih 280,000 pelajar yang hanya sekadar lulus SPM yang tidak melayakkan diri untuk masuk universiti akan ditawarkan untuk menyertai TVET untuk mendapatkan Sijil kemahiran yang akan menjadi sijil kedua yang sama pentingnya menjadi syarat minima untuk mendapatkan pekerjaan.
Sementara itu, Pengerusi Penasihat Giat MARA Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, pihaknya juga telah berusaha membuka peluang seluas luasnya kepada anak muda Labuan khususnya untuk menceburi latihan dalam bidang minyak dan gas.
“Saya telahpun mengadakan perbincangan diantara Giat MARA Labuan dan Giat MARA Sabah dengan satu syarikat yang akan mengendalikan kursus ini dan kita harapkan dalam jangka masa pendek dan jangka panjang akan ada sudah anak anak muda Labuan mengisi apa juga pekerjaan dalam industri minyak dan gas” katanya.
Mohd Rafi berkata bagi merealisasikan latihan ini kerajaan telahpun meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 setiap tahun bagi memastikan anak anak Labuan mampu mengisi apa juga bidang kerja yang ditawarkan dalam industri minyak dan gas.