Najib- gambar fail
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak memuji inisiatif Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, membantu menyediakan keselesaan tempat kepada para pelajar yang mendapatkan capaian Internet untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di Kampung Paus di sini, baru-baru ini.
Menerusi catatan yang dimuat naik Najib di laman facebooknya (Najib Razak) hari ini berkata, polis ada di mana-mana.
“Walaupun bukan agensi yang sepatutnya menyediakan ini semua, tetapi atas dasar tanggungjawab, mereka segera buat gotong royong.
“Inilah maksud sebenar, kita jaga kita. Tak merungut tetapi terus lakukan sesuatu untuk bantu.
“Tahniah kepada DSP Sammy Newton, Ketua Polis Daerah Ranau dan pasukannya. Moga ia menjadi contoh kepada kita semua”, katanya
Sementara itu, Najib mengesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM/MCMC) untuk mengatasi capaian internet di kawasan itu.
“MCMC perlu segera laksanakan capaian untuk adik adik kita ini,” tambah Najib.
Pegawai dan anggota polis IPD Ranau ketika menyediakan meja di bawah khemah untuk kemudahan pelajar.
Pada 29 Januari lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau mengambil inisiatif membina khemah di atas bukit dalam kawasan ladang kelapa sawit dekat Kg.Paus, kira-kira 70 kilometer dari Pekan Ranau bagi membantu pelajar mendapatkan capaian Internet.
Selain khemah, turut disediakan ialah kelengkapan meja dan kerusi hasil sumbangan daripada pegawai dan anggota IPD Ranau.
Para pelajar juga turut menerima bantuan bakul makanan, pelitup muka dan cecair sanitasi tangan.