ADVERTISEMENTspot_img

Mantan Pemimpin Akar Umbi WARISAN Beluran Sertai UPKO, Sokong Kepimpinan Ewon Benedick

SERAH BORANG…Marius (kanan) menyerahkan borang keahlian UPKO kepada Felix, sementara Juli (kedua kiri).


KOTA KINABALU: Beberapa pemimpin akar umbi dari kawasan Parlimen Beluran, baru-baru ini mengumumkan penyertaan rasmi mereka ke dalam Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju dan kepimpinan parti itu di Sabah.

Antara yang menyertai UPKO ialah Marius K. Samain, mantan Timbalan Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (WARISAN) P183 Beluran, serta Juli Apang yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Media kepada Ahli Dewan Undangan Negeri N.48 Sugut.

Penyerahan borang keahlian disempurnakan di Ibu Pejabat UPKO di Penampang dan diterima oleh Ketua Bahagian UPKO Beluran, Felix Saang, sebagai simbol komitmen mereka untuk bersama-sama memperjuangkan agenda rakyat menerusi parti berkenaan.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata keputusan menyertai UPKO dibuat selepas menilai secara dekat gerak kerja, kepimpinan dan pendekatan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah.

“Kami melihat kepimpinan Datuk Ewon Benedick sebagai berjiwa rakyat, berintegriti serta sentiasa mengutamakan kepentingan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” menurut kenyataan itu.

Menurut mereka, penyertaan ke dalam UPKO bukan bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana parti politik lain, sebaliknya sebagai wadah untuk bersama-sama membela nasib rakyat, khususnya di kawasan Sugut.

Mereka turut menyatakan keyakinan terhadap kekuatan jentera UPKO Sugut yang disifatkan mempunyai gabungan kepimpinan berpengalaman, berwibawa serta berpendidikan tinggi, termasuk dalam kalangan pemegang ijazah dan sarjana.

Gabungan pengalaman lapangan, latar akademik dan semangat juang itu, menurut mereka, diyakini mampu memperkukuh perjuangan parti ke arah penyelesaian isu rakyat secara matang, berhemah dan berfokus.

Dalam pada itu, mereka menyifatkan kepimpinan Ewon Benedick sebagai sumber inspirasi dalam usaha membina masa depan Sabah yang lebih inklusif, progresif dan sejahtera, selari dengan aspirasi rakyat di peringkat akar umbi.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN