BANTUAN…. Bashir (tengah) dan Rithuan (kiri) menyerahkan bantuan makanan sumbangan NADMA kepada mangsa kebakaran di PPS dewan Kompleks Sukan Labuan, pada Rabu.
LABUAN: Seramai 85 daripada 105 mangsa kebakaran rumah kongsi sebuah syarikat pembinaan yang berlaku pada Selasa telahpun ditempatkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di dewan Kompleks Sukan Labuan.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah (JPBD), Rithuan Mohd Ismail berkata seramai 85 mangsa telahpun ditempatkan sementara ke PPS, manakala selebihnya memilih untuk tinggal sementara bersama saudara mara.
Beliau berkata, mereka terdiri daripada 63 orang dewasa 22 kanak-kanak membabitkan 29 keluarga.
“Kesemua mereka mempunyai dokumen permit sah serta telah disahkan negatif Covid 19 selepas menjalani saringan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan sebelum ditempatkan di PPS” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau keadaan Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa kebakaran di dewan Kompleks Sukan Labuan, pada Rabu.
Turut sama Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Ismaidi Ismail, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Haji Hamir Zahari, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, Ansharey Matarsad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mahanum Fauzi dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk, Mohd Dzulfaizal Abdul Manan.
Rithuan yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan turut menjelaskan, pihak pengurusan syarikat tempat mangsa bekerja telahpun memberi jaminan akan membina semula rumah penginapan (kuaters) yang baharu mengikut piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan mengikut Akta Standart Minimun Perumahan dan kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Sementara itu, Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan telah menyerahkan bantuan makanan asas kepada semua mangsa yang ditempatkan di PPS sumbangan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Pada Selasa lalu, setamai 105 mangsa membabitkan 56 keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila tiga blok rumah kongsi sebuah syarikat pembinaan United Contraction Sdn. Bhd di Jalan Rancha-Rancha musnah dalam satu kebakaran.