Flovia menyampaikan hadiah berupa hamper kepada pemenang bertuah pada majlis itu
SIPITANG: Golongan wanita dipelawa untuk mengambil peluang keemasan dengan memanfaatkan perkhidmatan klinik guaman serta pusat bantuan guaman yang disediakan melalui Program Outreach Santuni Wanita.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, perkhidmatan tersebut adalah platform di mana golongan wanita bertanyakan sebarang masalah yang dihadapi yang mungkin memerlukan khidmat guaman.
“Dalam setiap Program Outreach Santuni Wanita anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) ada disediakan klinik guaman yang dikhususkan bagi golongan wanita.
“Selain itu, Pusat Bantuan Guaman Wanita JHEWA turut dibuka kepada orang ramai yang ingin bertemu dengan panel peguam secara bersemuka bagi bertanyakan sebarang masalah atau memohon bantuan guaman secara percuma daripada panel peguam yang telah dilantik pihak JHEWA.
“Justeru saya syorkan, ambillah peluang ini kerana seperti kita maklum kos untuk mendapatkan khidmat peguam bukanlah murah,” katanya.
James yang diwakili dan teks ucapan beliau dibaca Pembantu Menteri KPMKR Datuk Flovia Ng, berkata demikian semasa perasmian Program Outreach Santuni Wanita: Merakyatkan Perkhidmatan Ke Arah Kesejahteraan Wanita DUN N35 Sindumin di Dewan Serbaguna Sipitang pada hari Selasa.
Program itu adalah hasil inisiatif daripada JHEWA dengan kerjasama Pejabat Daerah Sipitang serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N35 Sindumin.
Program outreach santuni wanita ini merupakan flagship atau inisiatif baharu projek berimpak tinggi sektor modal insan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan hala tuju KPMKR bagi tempoh lima tahun iaitu pada 2021 hingga 2025 di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Sehingga April 2025 termasuklah program pada hari ini, pihak JHEWA telahpun menganjurkan Program Santuni Wanita di 65 kawasan Dun Negeri Sabah dengan penyertaan seramai 5,800 orang peserta secara keseluruhannya.
James menambah, sesungguhnya, Program Santuni Wanita ini sangat dekat di hati semua kerana mendukung isu sosial kemasyarakatan serta literasi perundangan yang mana amat berkaitan dengan kita semua.
Melalui jelajah program itu, ilmu asas dan tanggungjawab suami dan isteri begitu signifikan pentingnya permulaan satu institusi kekeluargaan termasuklah hak isteri.
“Isu hak isteri ini telahpun disampaikan pada hari ini dalam usaha kita meningkatkan kecaknaan para peserta agar dapat mengaplikasikannya dalam melayari bahtera perkahwinan kelak,” katanya.
Tambah beliau, program santuni wanita telah menjadi wadah penyampaian perkhidmatan serta perkongsian ilmu yang sangat efektif dalam usaha JHEWA memperkasakan golongan wanita dan masyarakat secara amnya agar terus relevan serta menepati keperluan semasa.
“Harapan kita agar usaha ini terus mendapat tempat dihati di masyarakat terutama di luar bandar kerana pihak kerajaan memainkan peranan penting sebagai medium penyampaian perkhidmatan di samping menyampaikan maklumat yang sahih berkaitan bantuan yang disediakan kerajaan secara terus kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berterima kasih kepada Adun N35 Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob atas kehadiran dan penglibatannya yang adalah cerminan kepada semangat kebersamaan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
Penghargaan turut diucapkan kepada yang berbahagia Pengarah JHEWA, Hajah Haslina Ismail dan wakil Pegawai Daerah Sipitang Haji Rhymie Haji Abd Rahman kerana usaha menyantuni masyarakat setempat seterusnya mengangkat isu-isu kemasyarakatan secara inklusif serta komprehensif.
Beliau turut berterima kasih kepada UPPM N35 Sindumin, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Daerah Sipitang kerana membantu mendapatkan peserta dalam program ini.



