Datuk Abidin memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis itu
RANAU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir menyeru kepada penduduk di sini supaya memberi mandat baru kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi mengekalkan kestabilan politik di Negeri Sabah.
“Kestabilan politik amat penting untuk mengekalkan momentum pembangunan yang sudah kita nikmati sejak lima tahun yang lalu.
Pelan pembangunan SMJ 2.0 harus kita sokong kerana ia adalah pelan pembangunan yang mensejahterakan rakyat.
“Sebagai wakil rakyat DUN Paginatan saya amat berbangga kerana rakyat Paginatan sentiasa berada di belakang Wakil Rakyat dan kita sudah mencapai banyak kejayaan dengan bekerja bersama sama dengan rakyat Paginatan, kakitangan kerajaan, kakitangan UPPM, dan juga Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan,” katanya.
Menurut beliau, antara pencapaian yang amat signifikan ialah; Pengeluaran lebih 1,000 geran tanah melalui Program Pantas yang melibatkan pengukuran lebih 6,000 ekar keluasan tanah; mengeluarkan Kg Ponulangon, Walou dan Kg Kanawahon daripada hutan simpan; Pelancaran Pekan Baru Paginatan yang disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah baru-baru ini sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memajukan kawasan kampung; dan menambah kuota Jawatan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK di beberapa kampung yang sudah diujudkan.
“Kesinambungan kepada Program Pantas, kita akan adakan perbincangan dengan PPHT Ranau dengan penduduk Kg Tinanom, Kg Kodop Baru dan Kg Kigiwit pada 29 Septenber 2025 untuk pelaksanaan Program Pantas tersebut.
“Kita komited untuk meneruskan Program Pantas ini kerana kita amat sedar bahawa memiliki satu geran tanah adalah amat bermakna dan berharga kepada kita.
“Oleh sebab itu, sokongan padu daripada semua rakyat Paginatan amat-amat diperlukan demi kesinambungan pembangunan yang sudah dirancang,” katanya.
Datuk Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Pondok Tagal Kg. Matupang dan juga Perasmian Tamu Tagal Matupang yang diadakan di sini baru-baru ini.
Beliau berterima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput bersama sama dalam Pelancaran Tamu Mingguan Tagal Kg Matupang.
Beliau juga ucapkan syabas dan tahniah kepada penduduk Kg Matupang kerana ada inisiatif komuniti kampung untuk mengujudkan bukan sahaja Tagal Sungai tetapi Tamu Mingguan di Perkarangan Kawasan Tagal.
“Sistem Tagal amat penting untuk memelihara hidupan sungai dan inisiatif kampung untuk memelihara sungai melalui sistem Tagal amat dipuji.
“Konsep Tamu juga amat penting untuk meningkatkan sumber pendapatan penduduk kampung. Kesemua ini adalah satu cara untuk menarik pelancong dan memperkenalkan Kg Matupang kepada pengujung dalam dan luar negeri,” katanya.
Datuk Abidin menyarankan AJK Tagal untuk memohon peruntukan daripada Kementerian Pelancongan untuk mendapat bantuan membina pondok, tandas dan keperluan lain di kawasan Tagal.
Beliau juga menyarankan untuk libatkan belia-belia dan komuniti kampung dalam aktiviti Tagal kerana kerjasama dikalangan penduduk kampung amat penting untuk kejayaan setiap aktiviti yang dijalankan oleh AJK Tagal.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Wilson Lion berkata Tagal Matupang sudah dibuka kepada para pengunjung sejak bulan Jan 2025 dan ini merupakan satu lagi produk pelancongan di Kawasan Mukim Paginatan.
“Maklumbalas daripada para pengunjung, kawasan Tagal Matupang sangat berpotensi sebagai destinasi pelacongan dalam dan luar negeri kerana ia betul-betul terletak di Piolungan Sungai Matupang dan Sungai Liwagu.
“Setakat ini Tagal menyediakan gelanggang bola tampar untuk tempat bersukan dan jiga beberapa pondok untuk kemudahan pengunjung,” katanya.
Tambahnya, Kg Matupang dikelilingi oleh lima kampung berdekatan iaitu Terikon, Bunakon, Sagindai, Lungkidau dan Paginatan. Oleh itu Ajk Tagal telah mengujudkan Tamu Mingguan yang diadakan setiap hari Sabtu di Perkarangan Tagal Matupang.
“Untuk perancangan seterusnya Tamu Besar Bulanan dan Pasar Malam akan diadakan. Justeru bagi pihak penduduk Kg Matupang, kita merakamkan setinggi tinggi tahniah kepada Wakil Rakyat YB Datuk Abidin Madingkir kerana merealisasikan impian kita untuk pengujudan Pekan Baru Paginatan yang tidak jauh dari Kg Matupang. Dengan adanya Pekan Baru ini sudah tentu limpahan ekonomi dapat dirasai juga oleh penduduk Kg Matupang.
“Selain daripada itu, ia juga akan mengujudkan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan kepada belia-belia. Oleh itu, saya menyeru kepada belia Kg Matupang untuk memberi sokongan padu kepada Kerajaan GRS demi kesinambungan Pelan Pembangunan SMJ 1.0,” katanya.
Ketua Kampung Siansim Kobindong turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan atas kebersamaan YB Datuk Abidin Madingkir dalam acara yang amat bermakna itu.
“Syabas dan tahniah juga kepada AJK Tagal Kg Matupang kerana mempunyai inisiatif untuk mengadakan Tamu Mingguan Tagal Matupang. Asalnya Tagal Matupang ini hanya melibatkan Sungai Matupang tetapi kini kawasan Tagal telah diperluaskan sehingga ke Sungai Liwagu,” katanya.
Beliau mengambil kesempatan untuk menyeru kepada semua penduduk Kg Matupang supaya berdiri teguh di belakang YB Datuk Abidin Madingkir kerana rekod pencapaian beliau yang amat baik sebagai Wakil Rakyat.
“Beliau sangat prihatin terhadap pemaslahan rakyat dan sentiasa turun padang menyantuni dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan perhatian.
“Kita juga menepis sekeras-kerasnya tohmahan konon YB Datuk Abidin jarang melawat kampung. Dalam beberapa bulan ini sahaja YB Datuk sudah beberapa kali datang melawat kita di Kg Matupang,” katanya.
Dalam Majlis tersebut YB Datuk Abidin Madingkir meluluskan pembelian jersey sukan untuk para belia Kg Matupang. Mengenai permohonan-permohonan lain untuk penambahbaikan kawasan Tagal, katanya, ia akan dibuat selepas jajaran Lebuhraya Pan Borneo dimuktamadkan.
Turut hadir Juis Konsuling, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, CDO Jipili Sigal, semua KAN DUN Paginatan, Siti Nurjana Abas, Ketua Wiranita Star Paginatan, dan pemimpin masyarakat kampung sekitar.



