RAKAN STRATEGIK… pengamal media yang hadir merakamkan gambar kenangan bersama Siti Ayu (lima dari kiri), Nooruddin (enam dari kanan dan Hiffani (empat dari kiri) serta kakitangan PETRONAS yang lain
LABUAN: Majlis jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri PETRONAS Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini disambut meriah dengan kehadiran ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta serta rakan rakan strategik PETRONAS yang ada di Labuan.
Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza berkata, majlis Rumah Terbuka Aidilfitri adalah salah satu acara yang dinantikan oleh warga PETRONAS setiap tahun bukan sahaja bertujuan untuk meraikan Aidilfitri tetapi juga dapat bertemu dan mengeratkan lagi silaturahim antara satu sama lain dalam suasana Aidilfitri.
“Setiap tahun majlis Rumah Terbuka Hari Raya PETRONAS adalah salah satu acara yang kami nantikan kerana melalui majlis inilah kita dapat bertemu dan mengeratkan antara satu sama lain dan beramah mesra’ katanya ketika berucap pada majlis itu.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan, Datuk Dr. Osman Jusoh, Naib Presiden Kumpulan PETRONAS Bahagian Perhubungan Strategik dan Komunikasi, Nooruddin Abdullah, Ketua PETRONAS Chemicals Methanol Plant, Hiffani M Jalil dan Ketua Ketua Jabatan Kerajaan serta kakitangan PETRONAS.
Beliau juga turut merakamkan peghargaan terima kasih kepada Perbadanan Labuan serta Jabatan dan Agensi kerajaan di pulau ini yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan PETRONAS sambil berharap hubungan yang baik ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan.
Katanya, PETRONAS Labuan juga tidak ketinggalan melaksanakan pelbagai program sosial yang telah banyak memberi impak kepada masyarakat Labuan khususnya yang memerlukan bantuan.
“Program impak sosial merupakan aspek yang dekat di hati kami kerana ia memberi peluang untuk kami berdamping dengan kalangan masyarakat yang memerlukan.
“Pada masa yang sama, ia juga memupuk semangat kesukarelawanan di kalangan kakitangan kami, yang sememangnya sesuatu yang amat kami galakkan” katanya.
Pada majlis itu, Siti Ayu juga turut mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemical Methanol yang baharu, Hiffani M Jalil menggantikan Lawai Jok yang berpindah ke Sarawak.