25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Majlis Ramah Mesra Timbalan Menteri Pertahanan Bersama Masyarakat Kg. Kabimbangan

KENANGAN….Para Vetran ATM bersama komuniti merakam gambar bersama tuan Adly (depan berbaju putih).

SEMPORNA: Kehadiran Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, ke Kg Kabimbangan hari ini mencetuskan keterujaan dalam kalangan penduduk apabila beliau turun padang menyantuni komuniti setempat, termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dalam satu Majlis Ramah Mesra yang berlangsung di Dewan Komuniti kampung berkenaan.

Walaupun Kg Kabimbangan masih berdepan kekurangan kemudahan asas, penduduk menyifatkan kunjungan seorang pemimpin tertinggi Kerajaan Persekutuan sebagai sesuatu yang amat dihargai, khususnya kerana ia memberi ruang kepada suara komuniti pedalaman didengari secara langsung oleh pihak kementerian.

Majlis yang dianjurkan oleh veteran ATM bersama masyarakat setempat itu menjadi platform kepada penduduk untuk mengemukakan pandangan mengenai pembangunan kampung, termasuk isu prasarana, keselamatan perairan dan kebajikan sosial.

Dalam ucapannya, Adly menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memberi perhatian kepada keperluan rakyat di kawasan luar bandar Sabah yang masih memerlukan sokongan menyeluruh.

“Walaupun kampung ini serba kekurangan, saya melihat semangat dan keprihatinan masyarakat sangat tinggi

“Kerajaan mahu memastikan suara seperti inilah yang didengari dan diberi perhatian,” katanya.



Beliau turut menekankan bahawa pendekatan turun padang adalah penting bagi memahami realiti kehidupan masyarakat serta memastikan dasar kerajaan selari dengan keperluan sebenar di peringkat akar umbi.

Majlis berkenaan yang dihadiri lebih 30 orang turut menyediakan sesi dialog bersama penduduk, membolehkan wakil komuniti menyampaikan cadangan dan isu berkaitan prasarana, keselamatan maritim, pendidikan serta akses perhubungan antara pulau dan tanah besar.

Penduduk Kg Kabimbangan menyifatkan kehadiran Timbalan Menteri Pertahanan sebagai suntikan semangat kepada komuniti yang jarang menerima kunjungan pemimpin kanan kerajaan.

Turut hadir, Mejar Biyazid Reduan (Ret.), Pengerusi Koperasi Permuafakatan Veteran Komando Malaysia Sabah Berhad, Pegawai Khas Timbalan Menteri Pertahanan serta beberapa pegawai Kementerian Pertahanan (MINDEF).

.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN