Oleh: Aduka Jasnin Suman
RANAU: Majlis Malam Mesra Graduan Ranau yang akan diadakan pada 26 Oktober ini di Dewan Kompleks Sukan Ranau bakal lakar sejarah tersendiri.
Majlis anjuran Persatuan Graduan Ranau dan Kelab Semangat Ranau Nombor 1 dengan kerjasama Pejabat Daerah Ranau, bakal himpunkan sejumlah graduan tempatan dari awal tahun 70-an.
Pengerusi penganjur, Haji Faimin Kamin ketika memberitahu media berkata, majlis berkenaan dijangka dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal sebagai tetamu kehormat.
Katanya, majlis berkenaan bertujuan meraikan dan mengiktiraf kejayaan anak jati Ranau dalam bidang akademik sepanjang tempoh 50 tahun bermula tahun 1970.
“Majlis ini akan menyampaikan mesej ‘kemajuan dan kekuatan bangsa melalui pendidikan’ seterusnya mempromosikan semangat Ranau nombor 1 dan penghayatan ‘pisompuruan om misokodung.
“Selain itu, majlis julung kali ini memperlihatkan serta memberi sokongan kepada usaha-usaha memantapkan pencapaian pendidikan di daerah ini,” kata Faimin yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Undang-Undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.
-FAIMIN KAMIN-
Sementara itu, Pengarah Program, Karen Domi berkata, majlis yang bermula jam 7.00 malam itu berkonsepkan pertemuan ramah mesra di kalangan graduan Ranau di samping majlis makan malam.
Katanya, majlis itu bukanlah penganugerahan akademik seperti yang diamalkan oleh pusat-pusat pengajian tinggi atau universiti tetapi lebih kepada penghargaan atau apresiasi.

“Pemakaian jubah graduan kepada beberapa orang yang dirai hanyalah sekadar simbolik atau gimik kepada majlis tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, antara garaduan terawal Ranau yang dijangka hadir ialah Tan Sri Kasitah Gaddam, Datin Dr.Lungkiam Dambul, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan ramai lagi.

