OLEH ADUKA JASNIN SUMAN
SIBU: Seorang guru di Sibu, Sarawak berpendapat, majlis graduasi yang diadakan diperingkat tadika, sekolah rendah dan menengah, merupakan satu pembaziran dan merepek.
“Walaupun mungkin ramai yang marah, walaupun mungkin ramai yang tidak senang, saya tetap berpendapat bahawa trend majlis graduasi tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah adalah pembaziran dan merepek,” kata Shah Mirza (nama facebook) yang dipercayai bertugas di SMK Methodist Sibu.
-Sahul HM/Shah Mirza-
Menurut perkongsian di laman facebooknya yang bertarikh 03 November 2019, jam 8.38 pagi, beliau berkata, majlis graduasi berjubah itu adalah identiti menara gading.
“Jubah dan ‘mortar board’ adalah manifestasi tradisi ilmu dan kesarjanaan. Setiap perkara ada kedudukannya.
“Pembaziran, kerana dana sekolah untuk urusan hakiki pun compang-camping, terkontang-kanting, lagi sibuk nak disalurkan kepada majlis yang direka-reka ini. Ada sekolah yang menyewa jubah, ada guru yang terpaksa mencari jubah untuk dipakai. Tapi nak fotokopi bahan pdp tiada dana,” luahnya.

Menurut Shah Mirza, pihak berkenaan yang berpendapat bahawa tujuan majlis seumpama itu diadakan adalah sebagai dorongan serta motivasi kepada pelajar untuk melangkah masuk ke universiti adalah kurang tepat.
“Berpuluh tahun kita tidak pernah buat majlis sebegitu, tiadakah yang masuk universiti? Eh, anak kita di tadika itu tidak tahupun apa itu graduasi. Kita je pandai-pandai menormalisasi.
“Percayalah, benda-benda beginilah yang lama-kelamaan nanti akan merosakkan sekolah kita. Kalau nak hargai anak-anak, majlis anugerah kecemerlangan sudah memadai. Tak perlu berjubah bertopi. Majlis yang disertai oleh kita, guru dan ibu bapa, sudah menjanjikan kebahagiaan kepada anak-anak kita,” sarannya.-BorneoBuletin–
-TAMAT-
