MAIWP Labuan serah 200 kit makanan bernilai RM10,000 kepada JBPD
Oleh: Jainudin Djimin

MAIWP Labuan serah 200 kit makanan bernilai RM10,000 kepada JBPD
KERJASAMA…..Md Fadzli (dua kiri) menyerahkan bantuan kit makanan kepada Rithuan (tengah) sebelum diserahkan kepada Ansharey (kanan sekali) sebagai tanda sokongan dan kerjasama MAIWP, JPBD dan JKM dalam membantu golongan yang terjejas pendapatan sepanjang PKP.
LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (MAIWP) telah menyerahkan sebanyak 200 kit makanan bernilai RM10,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang diadakan di Pusat Pengumpulan Bantuan Makanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, pada Jumaat.
Majlis penyerahan bantuan kit makanan itu disampaikan oleh Pengurus MAIWP Labuan Ustaz Md. Fadzli Md Saad kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Rithuan Mohd Ismail yang disaksikan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, Ansharey Matarsad.
Menurut Ustaz Md Fadzli, sumbangan itu bertujuan untuk membantu kepada golongan yang terjejas pendapatan berikutan penularan COVID 19 sepanjang pelaksanaan Perintah Kewalan Pergerakan (PKP) yang akan diagihkan melalui JBPD.

SIMBOLIK…. Md Fadzli menyerahkan raplika cek RM10,000 kepada Ansharey (kanan) disaksikan Rithuan.
“ MAIWP berharap bantuan kit makanan itu akan dapat meringankan beban golongan yang terjejas pendapatan sepanjang pelaksanaan PKP 2.0 susulan pandemik COVID 19 yang melanda negara ketika ini” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan tersebut.
Dalam pada itu, Md Fadzli turut mengalu-alukan warga Labuan yang terjejas atau terkesan pendapatan seperti pemberhentian kerja atau pemotongan gaji semasa pelaksanaan PKP untuk mendapatkan bantuan yang bersesuaian daripada MAIWP.
“ Kita alu-alukan kepada mereka yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini supaya terus datang ke kaunter MAIWP untuk membuat permohonan” katanya.
Sementara itu, Rithuan ketika ditemui turut mengcapkan terima kasih kepada semua penyumbang termasuk MAIWP yang sama sama membantu JPBD dalam mengagihkan bantuan makanam dan keperluan lain yang bersesuaian kepada golongan yang terkesan akibat PKP dan COVID 19.
Sejak PKP 2.0 dilaksanakan pada 13 Januari lalu JPDB melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengagihkan sebanyak 828 kit bantuan makanan kepada golongan yang terkesan khususnya golongan B40.
Rithuan yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan turut menasihatkan kepada peyumbang yang ingin membantu warga Labuan yang terkesan atau terjejas susulan PKP 2.0 supaya menyalurkan sumbangan melalui JPBD.
“ Prosedur ini adalah selaras dengan SOP yang telah ditetapkan semasa PKP dilaksanakan” katanya.
TAMAT.