Gambar Atas: Ahmad Saifuddin (tiga kiri) menyerahkan bantuan MAIWP PRIHATIN kepada Emran dari kampung Rancha-Ranch Darat.
LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan menyantuni empat buah keluarga asnaf melalui Program MAIWP Prihatin Siri 2 sempena Hari Raya Aidilfitri, pagi kelmarin.
Program MAIWP Prihatin merupakan program MAIWP ‘Turun Padang’ berziarah dengan golongan asnaf bagi menyampaikan bantuan wang zakat dan barang keperluan dapur sempena Hari Raya Aidilfitri.
Pengurus MAIWP Labuan, Ahmad Saifuddin Md. Tahir berkata, program MAIWP Prihatin Siri Dua merupakan kesinambungan Program MAIWP Prihatin Siri Satu Ziarah Ramadan yang diadakan pada bulan Ramadhan yang lalu.

DUIT RAYA…. Ahmad Saifuddin menyampaikan duit raya kepada kana-kanak keluarga asnaf yang menerima bantuan MAIWP Prihatin dari Kampung Tanjung Aru.
“Hari ini MAIWP Prihatin telah menyantuni empat buah keluarga golongan asnaf untuk menyampaikan sedikit sumbangan wang zakat dan barangan keperluan dapur sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri”| katanya ketika ditemui pada program tersebut di kampung Tanjung Aru.
Empat golongan asnaf itu masing-masing Norhani Tahir, 44, dari Kampung Patau-Patau Dua, Emran Taha, 59, dari Kampung Rancha-Rancha Darat, Mohd Azmi Mansur, 37, dari Kampung Kilan Kasim dan Rafa’al Gady, 33, dari Kampung Tanjung Aru.
Menurut Ahmad Saifuddin, mereka yang menerima bantuan wang zakat itu merupakan penerima bantuan kewangan bulanan, bantuan musibah, bantuan sewa rumah bulanan dan asnaf baharu yang membabitkan kos keseluruhan RM20,100.
Sementara itu, MAIWP Labuan juga katanya telah memperuntukan sebanyak RM4.8 juta wang zakat kepada golongan yang terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
“Sepanjang PKP dilaksanakan MAIWP Labuan mengagihkan bantuan wang zakat bukan sahaja kepada gologan asnaf yang sedia ada tetapi juga golongan yang terjejas pendapatan dan hilang sumber pendapatan akibat PKP” katanya.
Beliau berkata, sehingga bulan Mei 2020, MAIWP Labuan telah memperuntukan bayaran bantuan kewangan bulanan berjumlah RM3.5 juta kepada kepada 2,727 penerima.–Borneo Daily Bulletin