GAMBAR: SIMBOLIK…. Marzuk (empat dari kiri), Bashir (tiga dari kanan), Rithuan (dua kanan), Ramli (kanan sekali) dan Ustaz Md. Fadli (dua kiri) bersama penerima bantuan Zakat MAIWP Labuan
LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan mengagihkan Bantuan Aidilfitri kepada 3,952 golongan asnaf melibatkan peruntukan sebanyak RM1.9 juta wang zakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Marzuk Shaary berkata, MAIWP Labuan juga telah mengagihkan bantuan pakaian dan peralatan sekolah kepada 5,770 murid dan pelajar daripada keluarga asnaf membabitkan peruntukan sebanyak RM1.9 juta.
“ Selain itu, pelbagai bantuan lain turut disalurkan termasuklah bantuan membina dan membaiki Rumah.
“Sejak Januari hingga Mei ini sahaja, MAIWP Labuan telah membina dan membaik pulih sebanyak 14 buah rumah penerima asnaf melibatkan peruntukan sebanyak RM476,480” katanya ketika berucap pada Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Bersama Asnaf 2022 anjuran MAIWP Labuan di Dewan Arena Perbadanan Labuan, Kampung Bukit Kuda.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan Anugerah Ikon Asnaf 2022 kepada pengusaha sambal Humey, Saiyidatul Syahirah Jasney yang sebelum ini penerima bantuan zakat dan kini merupakan seorang pembayar zakat.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail, Pengurus MAIWP Labuan, Md. Fadzli Md. Saad dan Pengarah Urusan Bakti Property Sdn. Bhd, Datuk Dr. Ramli Tahir.