29 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

MAIWP berhasrat menjadi pemangkin teras bidang pendidikan dengan memperkasa ICT dan Teknologi IR 4.0

SIMBOLIK…Zainal (tengah) secara simbolik merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan  SMA MAIWP 2022-2023  sambil diperhatikan   Mohd Fauzi (dua kiri), Md Fadzli (tiga kanan), Kamariah ( kiri sekali) dan Mohd  Dzulfaizal (dua kanan).

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhasrat menjadi pemangkin teras dalam bidang pendidikan  dengan memperkasa kemahiran Teknologi Maklumat (ICT) dan  Teknologi IR 4.0 melalui penubuhan ‘Future Classroom.

Ahli MAIWP, Haji Zainal Abidin Shaik Zakaria berkata hasrat itu selaras dengan Pelan Strategik MAIWP 2021-2025  ke empat  yang mengariskan  enam teras salah satunya ialah membentuk modal insan cemerlang berdasarkan pendidikan holistik.

Untuk itu katanya, MAIWP telahpun menubuhkan Future Classroom yang berkonsepkan futuristik dan menghasilkan proses pengajaran secara efektif dengan pengaplikasian peralatan berteknologi tinggi bagi menyokong sepenuhnya flipped classroom.

Jelasnya, ketika ini MAIWP telah menubuhkan Future Classroom ini di tiga buah institusi pendidikan MAIWP iaitu Pondok Moden Al-Abaqirah, Sekolah Menengah Integrasi SainsTahfiz (SMISTA) dan MAIWP Kids.

TOKOH MURID….Nurul Jannah menerima sijil dan piala daripada Zainal.

Manakala  Future Classroom bagi SMA MAIWP Labuan akan mula dilaksanakan pada tahun ini.

“Insha-Allah MAIWP akan mewujudkan Future Classroom di semua institusi yang dibuat secara berperingkat  bagi merealisasikan hasrat MAIWP meningkatkan kemahiran dalam  bidang ICT dan IR 4.0 sekaligus melahirkan modal insan cemerlang berdasarkan pendidikan holistik” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan  Majlis  Anugerah Kecemerlangan SMA MAIWP Labuan sesi 2022-2023 di Dewan  Kompleks Darul Kifayah MAIWP Labuan, pada Sabtu.

Hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan MAIWP, Mohd Fauzi Abidin,  Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Labuan, Kamariah Salim, Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadzli Md. Saad dan  Yang Di Pertua, PIBG SMA MAIWP, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan.

Beliau juga turut mengumumkan  pembinaan   Kompleks Institusi Pendidikan  SMA MAIWP Labuan  di Kampung Sungai Bedaun   yang dijangka siap sepenuhnya pada  tahun 2026.

“Pembinaan Kompleks Institusi Pendidikan SMA  MAIWP yang  berharga RM53 juta itu  bakal menjadi satu lagi mercu tanda baharu  yang akan mewarnai pembangunan sosial ekonomi di Labuan” katanya.

Pada majlis itu, seramai 200 pelajar dan warga pendidik SMA MAIWP Labuan menerima pelbagai anugerah sebagai menghargai  usaha dan kejayaan para guru dan murid dalam bidang akademik, hal ehwal murid, ko-kurikulum, kepimpinan dan pembentukan sahsiah diri. 

Sementara itu, Nurul Jannah Abdullah pelajar tingkatan 5 sekolah itu dinobat sebagai tokoh Murid 2022-2023.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN