ADVERTISEMENTspot_img

Loji baru sangat penting untuk atasi masaalah bekalan air di Ranau: Jonathan

Gambar dari udara loji air baharu di Ranau tersebut


RANAU: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menyambut baik pembinaan Loji Air baharu yang telah siap dibina di Kg Dilek Lohan Ulu dan dibuka secara rasminya di sini baru-baru ini.


Majlis Perasmian Projek Pemasangan Paip Air Mentah Baharu dari Sumber Muka Sauk Sg Mamut Ulu ke Loji Rawatan Air Baharu Daerah Ranau telah disempurnakan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.


Jonathan berkata, loji baru dengan kapasiti 5 Juta Liter Sehari (MLD) ini sudah tentunya sangat penting untuk mengatasi masaalah bekalan air di kawasan Pekan Ranau khususnya dan sekitar.


Menurutnya, ketika ini, loji air sedia ada di Kimolohing dapat menyalurkan 5MLD sementara loji air di Bambangan dapat menyalurkan 8MLD.


“Keperluan Pekan Ranau dan sekitar lebih kurang 11MLD. Dengan tambahan kapasiti baru 5MLD akan membolehkan bekalan air masih dapat disalur ketika loji Kimolohing ditutup.


“Loji air di Lohan akan terus membekalkan air ke loji di Kimolohing. Setakat ini Loji air yang bersih di Lohan tidak berlumpur walaupun hujan berterusan,” katanya melalui pautan Facebook beliau.


Sementara itu, puluhan ribu penduduk di daerah ini kini boleh menarik nafas lega selepas Projek Pemasangan Paip Air Mentah Baharu dari punca Air Masuk Sungai Mamut Ulu ke Loji Rawatan Air Baharu di Daerah Ranau (Reka Bentuk dan Bina) siap sepenuhnya.


Dengan siapnya projek ini, ia sedikit sebanyak dapat menangani masalah bekalan air bersih yang telah lama membelenggu penduduk di daerah ini yang sering menghadapi isu ini setiap kali musim hujan.


Masidi yang juga Adun Karanaan berkata sejak gempa bumi melanda Ranau pada 2015, daerah ini mengalami gangguan bekalan air setiap kali sungai Liwagu dinaiki air.


Setiap kali banjir, katanya, saluran air di Jabatan Air Ranau terpaksa ditutup dan ini menyebabkan pengguna tidak mendapat bekalan air yang sepatutnya.


Beliau menambah bahawa projek RM62 juta itu bertujuan menyelesaikan masalah itu, dengan membina satu loji air baharu dengan alur masuk baharu dari Sungai Nakamura dan Sungai Mamut Ulu.


“Projek ini termasuk saluran paip untuk kedua-dua air mentah dan terawat, bersama dengan loji rawatan air moden yang mampu mengeluarkan lima juta liter sehari.

Jonathan (kedua kiri) bersama Masidi, Abidin dan lain-lain semasa perasmian loji air baharu tersebut


“Sistem ini direka untuk menambah bekalan air yang dihasilkan di Loji Rawatan Air Kimolohing bagi memastikan perkhidmatan air yang stabil dan dipertingkatkan di seluruh daerah,” katanya.


Dalam pada itu, Adun Paginatan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir turut mengalu-alukan perkembangan terkini di daerah ini.


Menurutnya, pembinaan projek itu adalah sebahagian daripada agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dipelopori kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kesejahteraan rakyat di sini.


Bagi tujuan itu, beliau berkata rakyat di sini khususnya di DUN Paginatan perlu terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan GRS demi pembangunan berterusan daerah itu, dan Sabah secara keseluruhannya.


Abidin berkata, hala tuju politik Negeri Sabah yang diterajui kepimpinan GRS berada di landasan yang betul dan apa yang diperlukan ialah sokongan berterusan daripada rakyat.


Menurutnya, kestabilan politik di Sabah di bawah kerajaan GRS telah dapat meyakinkan pelabur antarabangsa untuk datang melabur dengan membina kilang besar di negeri itu.


“Perkembangan ini membolehkan Negeri Sabah memperoleh pendapatan lumayan, di samping memberi keupayaan untuk mentadbir negeri dengan lebih baik menerusi agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.


“Berkat peningkatan ekonomi, program seperti yang diadakan hari ini dapat diadakan. Justeru, saya mengajak rakyat untuk terus menyokong kerajaan GRS supaya kita juga dapat merealisasikan agenda SMJ 2.0 pada masa akan datang,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN