TAHNIAH….Sophian menerima watikah pelantikan Ahli Majlis Sukan Labuan daripada Annuar.
LABUAN: Lima Presiden Persatuan Sukan di pulau ini adalah antara 12 individu yang dilantik sebagai Ahli Majlis Sukan Wilayah Persekutuan Labuan (AMSWPL) bagi sesi 2020-2022.
Mereka terdiri daripada Presiden Persatuan Bolasepak Labuan (LAFA), Sophian Said, Presiden Ragbi Labuan, Abdul Rashid Adlie, Presiden Olahraga Labuan, Lee Kiat Khim, Presiden Wushu Labuan, Chong Chung Yee dan Naib Presiden 1, Persatuan Lawn Bowl Wilayah Persekutuan Labuan, Hassan Jinin.
Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman di lantik sebagai Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan Labuan.
Enam individu lain yang turut dilantik ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Jabatan Kewangan Perbadanan Labuan, Norina @ Morin Ignatus Beatty, Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kesenian Perbadanan Labuan, Mahathir Abdul Hamid, Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan Dr. Hasnul Faizal Hashim Amri, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mahamun Fauzi, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Khaziyati Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Labuan International School (LIS), Jaffree Ismail.
Pada majlis yang sama, Annuar turut menyampaikan surat pelantikan Jurulatih Sukan yang terlibat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2020.
Kesemua mereka menerima surat watikah pelantikan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada Program Santai Petang Menteri Wilayah Persekutuan bersama Penggiat Sukan Labuan dan Atlet SUKMA 2020 yang diadakan di salah sebuah hotel di sini, pada Jumaat.

Majlis Sukan Labuan diwujudkan bertujuan untuk memperkukuhkan dan meningkatkan keberkesanan struktur pentadbiran serta pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan.
Selain itu, bagi memastikan setiap penggiat sukan di Wilayah Persekutuan menerima manfaat daripada Cakna Sukan yang menjadi salah satu medium untuk menggerakkan aktiviti dan program Kawasan Pentadbiran (MSKP) di tiga Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Pada program tersebut, Annuar turut menyerahkan bantuan program pembangunan sukan kepada 17 buah persatuan sukan bagi membantu mereka untuk menyediakan kelengkapan kepada atlet disamping meringankan beban persatuan.
“Kita berharap melalui bantuan ini akan dapat memberi suntikan semangat kepada persatuan sukan untuk bergerak lebih aktif dalam mencungkil lebih ramai bakat baharu yang berpotensi sekaligus menaikkan kembali semangat para atlet untuk terus berlatih secara konsisten”katanya.