Gambar: HADIAH…. Gapilin menyampaikan hadiah kepada Lee Ngee Hiong yang menjuarai kategori Ahli LGC.
LABUAN: Kelab Golf Labuan (LGC) merancang akan menganjurkan beberapa kejohanan yang akan melibatkan penyertaan tempatan dan juga luar Labuan.
Presiden LGC, Datuk Haji Gapilin Nasaruddin berkata, memandangkan Labuan telahpun beralih ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang turut membenarkan sukan golf, maka kita merancang semula beberapa kejohanan yang sebelum ini tertangguh akibat pandemik COVID 19 sejak tahun 2020.
“Kita sedang merancang lebih banyak kejohanan golf yang melibatkan penyertaan tempatan dan luar termasuk untuk golongan remaja tanpa meminggirkan Prosedur Operasi Standart (SOP) yang telah ditetapkan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf Hari Malaysia 2021 di Kelab Golf Labuan (LGC), pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada media Labuan kerana bersedia untuk membantu mempromosikan aktiviti sukan golf sebagai salah strategik dalam mengembangkan sukan golf di pulau ini terutamanya yang membabitkan golongan remaja.
Pertandingan Golf Hari Malaysia 2021 anjuran LGC telah disertai seramai 60 peserta yang terdiri daripada peminat golf tempatan dan juga Ketua- Ketua Jabatan Kerajaan.
Sementara itu, Arif Azril Teo muncul juara dalan acara gross dengan merekodkan 73 pukulan, manakala bagi kategori Winner A dimenangi oleh Haji Ismanto Isnanthomo dengan 71 pukulan.
Bagi kategori Winner B dan C masing masing dimenangi oleh J Herman Tungin (70 pukulan) dan Tai Hong Hai (70 pukulan).
Bagi kategori ahli LGC, Lee Ngee Hiong muncul juara dengan 66 pukulan, manakala kategori bukan ahli LGC dimenangi oleh Kellydus Bitol yang merekodkan 70 pukulan.