DITAHAN..Suspek yang ditahan bersama air ketum yang dirampas – Foto: IPD Ranau
RANAU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun selepas menemui 19 botol berisi air ketum dalam satu serbuan di sebuah kampung di daerah ini, hari ini.
Menurut kenyataan IPD Ranau, tangkapan dilakukan kira-kira jam 6.50 petang apabila anggota BSJN IPD Ranau memperkenalkan diri dan menjalankan pemeriksaan di rumah suspek yang merupakan seorang penganggur.
Selain 19 botol air ketum, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses minuman berkenaan, termasuk tong gas, dapur masak, periuk, bekas polisterin putih serta tong plastik berwarna kuning.
Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sehubungan itu, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengedaran atau penggunaan ketum kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.



