31 C
Kota Kinabalu
Sabtu, April 13, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Lelaki cedera selepas terkena tembakan bakakuk

DSP Simiun Lomudin, Ketua Polis Daerah Ranau

RANAU: Seorang lelaki tempatan cedera selepas terkena tembakan menggunakan senapang bakakuk buatan sendiri ketika berburu bersama beberapa orang rakannya dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Bin Lomudin berkata, susulan kejadian itu, polis menahan tiga lagi lelaki tempatan berhubung kejadian tembakan itu.

Beliau berkata, mangsa kini dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

“Pada hari Selasa kira-kira jam 12.37 tengahari, Polis Daerah Ranau menerima laporan polis mengenai seorang lelaki yang cedera di badan akibat ditembak menggunakan senjata jenis bakakak ketika memburu di dalam hutan di daerah Ranau.

“Polis Daerah Ranau telah berjaya menahan tiga lelaki tempatan berumur 30 hingga 40 tahun pada hari yang sama bagi membantu siasatan kes itu,” katanya.

Simiun berkata, ketika ini polis sedang menjalankan siasatan bagi memastikan tindakan dari sudut undang-undang dilaksanakan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 / Seksyen 37 Akta Senjata 1960.

“Kita perlu memberi amaran dan tegaskan kepada orang ramai bahawa memiliki senjata api tanpa lesen adalah satu kesalahan serius yang akan didakwa di mahkamah,” katanya.

Ekoran kejadian itu, Simiun menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan polis daerah Ranau akan melancarkan Op Bakakuk di daerah ini dalam masa terdekat.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ranau bagi membantu siasatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN