KOTA KINABALU: Lebih RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan bantuan kebajikan bagi DUN Sekong pada tahun 2024, kata Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.
Jumlah RM1,075,800 itu merangkumi bantuan kanak-kanak, bantuan warga emas (BWE), elaun pekerja orang kurang upaya (EPOKU), bantuan penjagaan OKU/terlantar/pesakit kronik terlantar (BPT) dan bantuan OKU tidak berupaya bekerja (BTB).
Menurut beliau, bagi kategori BWE ia melibatkan seramai 78 orang yang terdiri daripada 55 lelaki dan 23 wanita yang telah menerima bantuan di kawasan tersebut.
Flovia yang juga ADUN Tulid berkata demikian semasa menjawab persoalaan daripada Adun Sekong, Alias bin Sani semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-16 yang berlangsung pada hari Khamis.
Semasa persidangan itu, Alias bertanya kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, berapakah jumlah warga emas yang telah menerima bantuan Jabatan Kebajikan masyarakat pada tahun 2024 di DUN Sekong.
Flovia menambah bagi tahun 2025, Kadar BKK ialah di antara RM200-RM1,000, Kadar BWE ialah RM600, manakala tiada perubahan bagi kadar bantuan OKU.



