ADVERTISEMENTspot_img

Lebih 60% kanser dikesan pada tahap lewat: Jonathan


RANAU: Pengesanan awal kanser serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh, memandangkan lebih 60% pengidap penyakit ini dikesan pada tahap lewat.


Ahli Parlimen P.179 Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, kajian mendapati 63.7% daripada keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat iaitu pada tahap III dan tahap IV.


“Di Malaysia, terdapat tiga (3) jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita iaitu kanser payudara (33.9%) dikuti dengan kanser kolorektal/Usus (10.7%) dan kanser serviks/ Pangkal Rahim (6.2%).


“Manakala dalam kalangan lelaki pula kanser yang paling kerap terjadi adalah kanser kolorektal/usus besar (16.9%), kanser paru-paru (14.8%) dan kanser prostat (8.1%).


Menyedari perkara ini, katanya, program jelajah kanser adalah medium terbaik untuk menggalakkan komuniti menjalani saringan kanser dan menjadi platform bagi komuniti mendapatkan maklumat berkenaan pendidikan kesihatan.


Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Program Jelajah Saringan Kanser Peringkat Daerah Ranau yang diadakan di Dewan SK ST Benedict Ranau pada hari Ahad.


Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Pejabat Kesihatan Daerah Ranau yang diketuai Pengarah Perubatan Pentadbir Pejabat Kesihatan Daerah Ranau, Dr Wong Yoke Kong kerana berjaya menganjurkan program itu.


Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada para petugas dari Pejabat Kesihatan Daerah Ranau, Klinik Kesihatan Kundasang, Klinik Kesihatan Bundu Tuhan, Klinik Kesihatan Lohan, Klinik Kesihatan Perancangan, Klinik Kesihatan Paginatan, Klinik Kesihatan Timbua dan Klinik Kesihatan Kaingaran yang bertugas sepanjang program jelajah ini.


“Dedikasi dan kesungguhan anda semua dalam memastikan program berjalan lancar dan penyampaian perkhidmatan saringan Kesihatan secara terus kepada penduduk Ranau amat dihargai,” katanya.

Jonathan (tengah) dan lain-lain merakamkan gambar kenangan dalam program tersebut


Menurut Jonathan, Program Jelajah Saringan Kanser itu merupakan program komuniti anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama agensi kerajaan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).


“Pada tahun ini, Pejabat Kesihatan Daerah Ranau telah dipilih sebagai tuan rumah untuk program jelajah pada kali ini. Saya telah dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa program ini telah bermula pada 14 Mei 2025 dan akan berakhir pada 20 Mei 2025.


“Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada orang ramai antaranya adalah seperti program saringan yang akan membuka gelanggangnya di Pentas Budaya Kundasang.


“Pemilihan tempat ini adalah bertujuan untuk memberi peluang dan ruang yang seluas-luasnya kepada penduduk sekitar untuk hadir berkunjung dan seterusnya mendapatkan perkhidmatan yang disediakan memandangkan lokasi yang dipilih ini terletak di pertengahan antara kawasan Kundasang dan kawasan Bundu Tuhan.” katanya.


Tambahnya, bagi masyarakat yang tinggal di sekitar Pekan Ranau, Lohan, Paginatan, Perancangan, Timbua dan Kaingaran pula program saringan akan dilaksanakan selama empat hari.


“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua penduduk di Daerah Ranau supaya mengambil peluang ini untuk menjalankan pemeriksaan dan saringan secara percuma.


“Kita juga amat bertuah, kerana pihak MAKNA turut serta dan membawa bersama Trailer bergerak ke Daerah Ranau bagi membolehkan Ujian Mamogram dan Ujian saringan kanser usus dapat dilakukan dengan selesa khususnya kepada masyarakat Daerah Ranau.


“Selain Ujian Mamogram dan Ujian saringan kanser usus yang dilakukan oleh MAKNA, pihak LPPKN turut menawarkan perkhidmatan saringan Kanser pangkal Rahim melalui Ujian HPV / Pangkal Rahim termasuk Ujian Mamogram bagi mengesan kanser payudara,” katanya.


Jonathan berkata, perkhidmatan lain yang turut ditawarkan kepada penduduk Daerah Ranau termasuklah pengesanan kanser mulut yang dilakukan oleh Klinik Pergigian Ranau dan saringan Kesihatan bagi tujuan mengenal pasti status Kesihatan kendiri oleh Klinik-klinik Kesihatan kerajaan yang terdapat di Daerah Ranau ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN