Rithuan Ismail.
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Setakat ini, lebih 50 peratus daripada 103,000 penduduk Labuan belum membuat pendataran untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID 19.
Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID 19 Wilayah Persekutuan Labuan, Rithuan Ismail berkata, setakat ini hanya 47.6 peratus daripada 103,000 jumlah penduduk Labuan yang telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin.
Beliau berkata jumlah itu jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang telah mencapai 99.4 peratus pada 1 Mei.
Rithuan yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan berkata, pihaknya sedang menyusun semula strategi bagi menarik mereka yang belum membuat keputusan supaya mengambil vaksin secepat mungkin.
“ Kita berharap 80 peratus penduduk Labuan dapat memainkan peranan dalam tempoh beberapa bulan ini untuk mencapai imuniti kelompok dan menghentikan penularan virus,” katanya di sini hari ini.
Menurut Rithuan sejak pelancaran Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 19 April, seramai 6,466 warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan yang terdedah dengan masalah morbiditi, telah menerima dos pertama mereka.
Sementara itu katanya, sekurang-kurangnya 75 individu telah dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak ia dikuatkuasakan pada 3 Mac lalu.
Jelasnya, antara kesalahan yang dilakukan termasuk 26 kes gagal mengimbas kod MySejahtera, cuba merentas negeri tanpa kebenaran polis (24 kes) dan gagal mematuhi perintah kuarantin (17 kes).
“Kompaun yang dikeluarkan berjumlah antara RM1,500 hingga RM25,000 dengan kompaun tertinggi dikenakan ke atas operator pusat hiburan yang didapati menjalankan aktiviti hiburan malam,” katanya.



