SIMBOLIK..Simsudin (tengah) bersama Noor Halim (dua dari kanan) dan Alex (kiri sekali) memotong rebin simbolik perasmian penggunaan teknologi LPR parkir kenderaan di TFAL.
LABUAN: LDA Labuan Holding Sdn. Bhd akan menggunakan teknologi terkini Pengiktirafan Plat Lesen (LPR) untuk parkir kenderaan di kawasan selianya berkuatkuasa esok (15 Oktober 2024).
Ketua Pegawai Eksekutif LDA Labuan Holding Sdn Bhd, Noor Halim Datuk Zaini berkata, pihaknya bekerjasama dengan Matrix Parking Solution Bhd. dalam melaksanakan teknologi terkini Pengiktirafan Plate Lesen (LPR) untuk parkir kenderaan di kawasan letak kereta Terminal Feri Antarabangsa Labuan (TFAL).
“Sistem LPR merupakan satu sistem yang mengimbas nombor plat kereta yang memasuki kawasan Terminal Feri Antarabangsa Labuan.
“Setiap kenderaan yang memasuki ruangan yang digazetkan sistem LPR akan diimbas semasa masuk dan keluar. Pengguna hanya perlu membuat pembayaran pada mesin yang ditempatkan sebelum pintu gate keluar.
“Pembayaran boleh dilakukan dengan menggunakan kad debit, kad kredit dan QR” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Autogate License Plate Recognition (LPR) Dan Bayaran Tanpa Tunai serta MoU Antara LDA Holding dan Matrix Parking Management Sdn.Bhd., di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, kelmarin.
Selain di kawasan parkir TFAL, dua lagi kawasan parkir yang diselia LDA Holding turut menggunakan khidmat LPR masing masing di kawasan parkir Jalan Merdeka (belakang Bangunan Financial Park) dan satu lagi dalam proses pembinaan iaitu kawasan parkir di Jalan Kemajuan (bersebelahan bengkel Chin Wheel).
Noor Halim berkata, LDA Holding sebagai ahli seketeriat smart city Perbadanan Labuan telah mengambil langkah proaktif untuk membantu Labuan sebagai bandar pintar dengan penggunaan teknologi terkini dan transaksi pembayaran tanpa tunai iaitu bayaran secara online.
Jelasnya lagi, setiap kenderaan yang masuk ke kawasan TFAL kurang dari 15 minit tidak akan dikenakan bayaran.
Bagaimanapun kenderaan yang masuk melebihi 15 minit untuk parkir akan dikenakan bayaran RM1.00 satu jam pertama dan tambahan RM 0.50 sen setiap jam berikutnya.
Sementara itu perkhidmatan pengangkutan awan (teksi) yang memasuki kawasan tersebut tidak akan dikenakan sebarang bayaran.
Beliau berharap dengan sistem yang baharu ini akan dapat mengurangkan kesesakan di kawasan drop zone TFAL.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Fadhilah Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif Financial Park, Johari Mesar dan Pengarah Eksekutif Matrix Parking Management Berhad, Alex Chin Wing Wah.