Gambar DARELL menerima borang keahlian baharu anak muda yang menyertai parti Warisan Bahagian Labuan.
LABUAN: Wilayah Persekutuan Labuan bakal mempunyai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik sekiranya Parti Warisan menang dalam PRN Sabah ke 17 yang akan diadakan dalam waktu terdekat.
Timbalan Presiden Parti Warisan , Datuk Ignitius Darell Leiking berkata pelantikan itu adalah selaras dengan dokongan padu yang ditunjukan oleh parti Warisan Bahagian Labuan yang senada dengan suara kepimpinan parti Warisan di Sabah.
Selain itu parti Warisan Bahagian Labuan juga sentiasa menyokong dan membantu kempen calon calon parti Warisan ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
‘Datuk Presiden Parti juga komited dengan idea ini bahawa Labuan yang senada dengan suara parti dan menjadi keluarga besar parti Warisan, wajarlah diberi pertimbangan salah satu daripada enam ADUN yang dilantik di berikan kepada Labuan jika Warisan mentadbir kerajaan negeri Sabah ‘ katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Agung Parti Warisan Bahagian Labuan di sini, pada Ahad.
Darell berkata, parti Warisan terus mengekalkan momentum untuk bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sepertimana yang telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi parti.
Beliau yang juga ADUN N.26 Moyog
berkata perjuangan parti dalam pilihan raya akan datang memfokuskan kepada hala tuju pembangunan negeri Sabah dan isu yang dihadapi rakyat.
“Datuk Seri Shafie Apdal telah memberikan suatu pandangan yang tepat …kita bergabung dengan rakyat…ini bermakna Warisan bukan bergabung dengan part-parti lain tapi dengan rakyat untuk membentuk kerajaan”, katanya
Jelas beliau, parti Warisan yakin rakyat Sabah akan menyokong dan memberikan kemenangan kepada calon calon yang datang dari parti Warisan.
Darell berkata, parti Warisan mempunyai ramai individu yang ingin menawarkan diri untuk menjadi calon parti.
Namun, pucuk kepimpinan parti akan meneliti dan menilai calon yang layak bertanding seterusnya memberikan kemenangan kepada parti Warisan.
Pada mesyuarat agung itu, Darell turut menerima lebih 50 borang keahlian baru yang melibatkan anak muda untuk menyertai parti Warisan.
Hadir sama Setiausaha Parti Warisan Datuk Loretto Padua Jr dan Ketua Bahagian Labuan Datuk Rozman Isli.



