SUMBANGAN….Annuar menyerahkan kit makanan sumbangan MAIWP kepada salah seorang asnaf yang mempunyai anak OKU di Kampung Bukit Kalam, pada Isnin.
LABUAN: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)) merancang untuk membina ‘Rumah Prihatin” yang berkonsepkan rumah mampu milik untuk dimiliki oleh golongan asnaf dan juga golongan B-40 yang berpendapatan rendah.
Menterinya, Tan Sri, Annuar Musa berkata, pihaknya akan berbincang dengan Perbadanan Labuan untuk mendapatkan tapak tanah bagi merealisasikan projek berkenaan.
Annuar berkata reka bentuk rumah yang akan di bina serta harga yang ditawarkan juga perlu mengikut kesesuaian dan kemampuan penduduk tempatan.
“Selepas melihat sendiri keadaan rumah rakyat terutamanya golongan asnaf yang tinggal di rumah daif, kita lihat ada keperluan mendesak untuk membantu golongan ini dengan menyediakan rumah mampu milik yang bersesuaian dengan taraf kehidupan dan kemampuan mereka” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kit makanan dan bantuan keperluan harian kepada golongan asnaf di Kampung Bukit Kalam, pada Isnin.
Sebanyak 11 buah keluarga asnaf dari Kampung Sungai Keling, Bukit Kalam, Sungai Bedaun, Sungai Miri dan Sugai Lada menerima sumbangan berbentuk kit makanan dan wang tunai sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan.
Annuar berkata, projek yang bakal dibina ini juga berbeza dengan konsep rumah mampu milik di Kuala Lumpur atau di Putyrajaya, maka satu kajian menyeluruh perlu dilakukan termasuk mengenai kos bahan binaan sebelum menentukan harga yang berpatutan untuk ditawarkan kepada golongan yang disasarkan.
Dalam waktu yang sama pihaknya akan berbincang dengan MAIWP agar rumah yang bakal dibangunkan itu boleh ditawarkan sewa beli kepada MAIWP sekaligus memudahkan MAIWP membantu golongan asnaf mendapat rumah yang lebih selesa.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Pesekutuan, Datuk Rosida Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zaitun, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman dan Pengurus MAIWP Labuan, Ahmad Saifuddin Md. Tahir. – Borneo Daily Bulletin



