Ewon dan yang lain menunjukan plak perasmian
KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah membina sebanyak 144 premis Tamu Desa di seluruh Sabah dan Sarawak dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM29 juta, sejak tahun 2024 hingga 2025.
Menterinya yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu sebanyak 22 dibina di kawasan DUN Kadamaian dalam tempoh dua tahun.
“Saya memberi fokus tambahan kepda kawasan Kadamaian kerana saya bermula di sini melihat keperluan itu sejak 2018. Aktiviti tamu tradisional di sini diadakan begitu aktif setiap minggu iaitu hari Isnin, Selesa, Rabu, Khamis dan Jumaat.
“Syukur dengan terbinanya 22 Tamu Desa di kawasan Kadamaian termsuk Tamu Desa Tambulion Laut ini, telah memberi manfaat bukan hanya kepada usahawan-usahawan tamu, peniaga kecil tetapi juga penjgunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian bangunan baharu Premis Tamu Desa Tambulion Laut, di sini hari ini.
Premis Tamu Desa Tambulion Laut itu dibina dengan peruntukan kira-kira RM300,000 di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Ewon berkata, kemudahan baharu itu akan memberi manfaat kepada usahawan tamu dan pengusaha gerai tepi jalan sedia ada yang akan berpindah ke tapak berkenaan, sekali gus menyediakan suasana perniagaan yang lebih selesa dan tersusun.
“Tamu di Kampung Tambulion Laut ini diadakan setiap hari Selasa, dan saya percaya kemudahan baharu ini akan memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi tempatan serta menggalakkan lebih ramai penduduk menyertai kegiatan keusahawanan,” katanya.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas komitmen berterusan kerajaan menerusi Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM20 juta lagi bagi pelaksanaan projek Tamu Desa pada tahun hadapan.
“Kita masih menerima banyak permohonan baharu daripada kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan projek Tamu Desa, bagi menaik taraf kemudahan sedia ada yang menjadi nadi ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Katanya lagi, kemudahan Tamu Desa bukan sahaja digunakan untuk aktiviti berniaga, tetapi juga sebagai pusat komuniti bagi pelbagai tujuan seperti mesyuarat mingguan Teman TEKUN, program agensi kerajaan, dan aktiviti kemasyarakatan.
“Projek ini bukan sekadar menyediakan tempat berniaga, tetapi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar dan kesejahteraan masyarakat setempat,” kata Ewon.
Setakat ini, kemudahan Tamu Desa telah dibina di pelbagai lokasi di seluruh Sabah termasuk Sandakan, Kinabatangan, Telupid, Sipitang, Ranau, Penampang, Keningau, Tawau, Semporna dan Lahad Datu, selain beberapa kawasan di Sarawak.
Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Dato Sri Khairul Dzaimee Daud dan pegawai-pegawai kanan kementerian serta ketua-ketua agensi KUSKOP.
Bersempena dengan perasmian Tamu Desa Tambulion Laut, Ewon turut melancarkan Program Happy Jualan MADANI Koperasi yang menawarkan diskaun sebanyak 50% untuk barangan pengguna yang dijual oleh koperasi.



