Datuk Henrynus Amin menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta kursus
RANAU: Kursus Penanaman Vanilla Siri 1 dan 2 yang dianjurkan Marakau Horticulural Farm Ranau selama dua hari baru-baru ini memberikan banyak manfaat dan suntikan semangat kepada lebih 50 orang peserta. Semua peserta merupakan bakal menjadi ahli Koperasi Tataba Ranau Berhad yang kini sedang dalam proses pendaftaran.
Dalam kursus itu, Kursus Siri 1 lebih banyak mendedahkan peserta tentang pengenalan vanilla dan kaedah penanaman secara komersil manakala Siri 2 lebih berfokus kepada sistem pembajaan, pengenalan penyakit dan rawatan, pengurusan batang vanilla dan teknik ‘stress’ untuk penghasilan bunga.

Leo Komuji sewaktu menunjukkan teknik menanam vanilla
Jurucakap penganjur kursus yang juga Pengerusi Penaja Koperasi Tataba Ranau Bhd, Datuk Henrynus Amin menjelaskan, program ini diadakan bertujuan memberikan pengetahuan mendalam di kalangan peserta tentang kaedah penanaman dan pengurusan vanilla.
‘Kita sedar bahawa penanaman dan pengurusan vanilla bukanlah sesuatu yang mudah jika dibandingkan dengan tanaman yang lain. Tumbuhan ini yang diklafisikasikan sebagai spesis orkid agak sensitif kepada cahaya matahari dan juga air. Ramai yang telah menceburi bidang ini tetapi gagal kerana kekurangan dari segi pengetahuan tentang pengurusan vanilla’ katanya.
Katanya lagi ‘kebanyakan peserta yang hadir pada kali ini telahpun mula menanam vanilla secara kecil-kecilan di kawasan masing-masing cuma mereka hanya memerlukan pemantauan dan pengetahuan lebih mendalam tentang sistem pengurusan vanilla. Dengan sebab itulah kita telah menjemput Encik Leo Komuji iaitu pemilik My Kebun Vanilla, Kinarut Papar sebagai tenaga pengajar kepada para peserta’.
Beliau berkata pihaknya bercadang untuk menganjurkan kursus Siri 3 sebagai lanjutan pada masa akan datang kepada semua bakal ahli Tataba tersebut. Kandungan slot kursus lebih menumpukan kepada praktikal iaitu tentang teknik pendebungaan dan penghasilan buah vanilla serta kaedah penjagaan yang bersistem bagi menjamin buah vanilla berkualiti tinggi.