27 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kurangkan tekanan pengguna, bina mini loji air menggunakan sumber air bersih semulajadi

JUNAIDI SAHAT

RANAU: Tekanan pengguna berhubung isu gangguan bekalan air bersih di daerah ini boleh dikurangkan dengan pembinaan beberapa mini loji air dengan menggunakan sumber air bersih semulajadi yang terdapat di beberapa kawasan lereng bukit di sepanjang laluan utama.

Mencadangkan perkara itu, Ketua Bahagian Umno Ranau, Hj.Junaidi Sahat berkata, isu gangguan bekalan air di daerah Ranau telah sekian lama membelenggu rakyat dan sudah tiba masanya untuk pihak berkenaan memikirkan jalan penyelesaian singkat yang mampu mengurangkan tekanan pengguna.

Katanya, jika mini loji air dibuat di kawasan-kawasan yang mempunyai sumber mata air semulajadi di sekitar laluan utama sudah pasti para pengguna ada alternatif lain ketika berhadapan dengan gangguan bekalan air dimana mereka boleh mendapatkan bekalan air bersih dilokasi tertentu.

“Saya mengambil contoh di sepanjang laluan antara perkampungan Randagong, Marakau, Lohan, Miruru dan Perancangan. Kesemua kawasan ini terdapat sumber mata air dimana jika dibangunkan mini loji air menggunakan teknologi kepakaran yang mengutamakan kualiti kebersihan dan keselamatan kepada pengguna, Sudah tentu ia memberi sedikit kelegaan kepada mereka setiap kali berhadapan dengan gangguan bekalan air”. Jelasnya.

Junaidi turut mencadangkan agar pihak berkenaan berbincang dengan mana-mana badan profesional seperti jurutera air dan arkitek yang pakar mengenai bidang tersebut untuk mewujudkan kerangka mini loji air yang sesuai dibangunkan di kawasan memiliki sumber air semulajadi.

Tegasnya, daripada mini loji air itu kelak, maka bolehlah disambungkan sebatang paip sepanjang kira-kira satu kilometer yang dilengkapi dengan suis paip yang memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air apabila terdapat gangguan sumber berkenaan.

Namun demikian, bagi mengelak mini loji air tersebut disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab, beliau mencadangkan agar diletakkan penjaga dari kalangan penduduk kampung yang mungkin pihak pengurusan sesebuah perkampungan boleh menetapkan bayaran tertentu yang amat rendah setiap kali pengguna datang mengambil air.

“Dengan adanya alternatif seumpama itu, mungkin sesebuah perkampungan boleh menambah tabung pentadbiran mereka seperti badan Ketua Kampung, JPKK atau JKDB. Kadar bayaran yang ditetapkan bukanlah terlalu tinggi, mungkin serendah lima puluh sen setiap kali mengambil air”. Katanya ketika ditemui pada Khamis.

Tambah beliau lagi, cadangan itu bukanlah mampu menyelesaikan sepenuhnya isu tersebut tetapi sekurang-kurangnya terdapat inisiatif berkesan bagi mengurangkan tekanan serta memberi kemudahan singkat kepada penduduk terjejas.

Tinjauan media mendapati, terdapat dua lokasi di daerah Ranau yang memiliki sumber mata air semulajadi yang sering dijadikan sumber air utama penduduk dan berpotensi dibangunkan iaitu di jalan utama berdekatan Kg Tungou dan Pusat Perhentian Jabatan Perhutanan Jalan Ranau-Telupid.

Isu gangguan bekalan air di daerah ini sering menjadi bualan ramai pihak dan baru-baru ini kenyataan Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik dalam Persidangan Dun Sabah menyatakan, kerajaan telahpun memperuntukkan sejumlah RM 160 juta bagi membina loji air baharu di daerah ini untuk menyelesaikan kemelut gangguan air tersebut.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN